ISKANDAR PUTERI: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, menyindir terdapat calon yang hanya mula menonjolkan diri ketika musim Pilihan Raya Negeri (PRN), sedangkan tidak pernah dilihat aktif berkhidmat sebelum ini.
Tanpa menamakan mana-mana individu, beliau berkata situasi itu berbeza dengan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, yang menurutnya telah membuktikan komitmen kepada penduduk sejak lebih empat tahun lalu.
Menurut Ahmad, keputusan BN mempertaruhkan semula Pandak dibuat berdasarkan rekod perkhidmatan yang disifatkan cemerlang serta konsisten dalam menyelesaikan pelbagai isu rakyat di kawasan berkenaan.
“Saya tidak mahu memburukkan mana-mana pihak, tetapi ada calon yang baru sekarang hendak menunjukkan muka. Sedangkan Datuk Pandak sudah bekerja sejak lebih empat tahun tiga bulan lalu.
“Saya yakin beliau mampu memberikan perkhidmatan yang lebih baik sekiranya diberi mandat sekali lagi,” katanya selepas menyertai sesi walkabout bersama Pandak di Pasar Tani Taman Nusantara, Gelang Patah, hari ini.
Ahmad berkata, fokus BN dalam PRN Johor bukan sekadar meneruskan pembangunan negeri, sebaliknya memastikan setiap hasil pembangunan dapat dinikmati secara langsung oleh rakyat tanpa mengira kaum.
Katanya, atas sebab itu BN memilih calon yang mempunyai rekod perkhidmatan terbukti dan benar-benar komited membantu masyarakat.
Beliau turut mendedahkan Menteri Besar Johor pernah menyifatkan Pandak sebagai antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) paling rajin di negeri itu berdasarkan kekerapan turun padang serta kesungguhannya menyelesaikan masalah penduduk.
Mengulas mengenai DUN Kota Iskandar yang mempunyai profil pengundi lebih urban dan terdedah kepada pelbagai sumber maklumat, Ahmad berkata pengundi di kawasan berkenaan cukup matang untuk menilai prestasi wakil rakyat berdasarkan rekod kerja, bukan sekadar janji kempen.
Menurutnya, pencapaian Pandak boleh dilihat menerusi pelbagai program bersama masyarakat serta perkongsian di media sosial sepanjang tempoh berkhidmat.
Beliau juga memaklumkan, berdasarkan taklimat diterimanya daripada kepimpinan UMNO Bahagian Iskandar Puteri, sebahagian besar manifesto yang dijanjikan Pandak pada penggal lalu telah berjaya direalisasikan.
Ahmad menambah, kesemua 56 calon BN yang bertanding pada PRN Johor kali ini dipilih selepas melalui proses penilaian teliti kerana diyakini mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
DUN Kota Iskandar, yang mempunyai kira-kira 131,000 pengundi berdaftar, merupakan antara kerusi terbesar di Johor dari segi jumlah pengundi pada PRN Johor ke-16.










