Puad Sokong Calon PH Di Rengit

JOHOR BAHRU: Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, secara terbuka menyatakan sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Mohamad Yazid Bakri, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.

Menerusi hantaran di Facebook, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata beliau kini tidak lagi terikat dengan mana-mana parti politik, justeru penilaiannya terhadap calon dibuat berdasarkan kredibiliti dan keperibadian individu, bukannya lambang parti yang dibawa.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu berkata, terdapat beberapa faktor yang mendorong beliau menyokong Mohamad Yazid, termasuk status calon berkenaan sebagai anak tempatan yang menetap di Rengit.

Menurutnya, Mohamad Yazid bukan sahaja tinggal di kawasan itu, malah rumahnya terletak di Rengit dan beliau turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Surau Al-Wusto Rengit.

Puad mengumumkan keluar daripada UMNO pada 25 Jun lalu dengan alasan beliau tidak lagi mampu berdiam diri terhadap apa yang didakwanya sebagai kekurangan autonomi dalam proses membuat keputusan di UMNO Johor.

Bagi saingan DUN Rengit, Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Mohd Zaidi Japar untuk mempertahankan kerusi berkenaan, manakala Perikatan Nasional (PN) meletakkan Syed Mohamad Syed Alwi sebagai pencabar, selain Mohamad Yazid mewakili PH.

Sebelum ini, Puad turut menggesa pengundi di DUN Rengit supaya menangguhkan sokongan kepada BN sehingga kerajaan negeri menyelesaikan isu bekalan air serta masalah benteng pecah di Kampung Berong Laut.

Beliau mendakwa kedua-dua isu itu masih belum diselesaikan walaupun telah berulang kali dibangkitkan kepada kerajaan negeri, selain mendakwa usaha untuk mempercepatkan penyelesaiannya tidak diberi keutamaan oleh Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

BBerkaitan

Latest articles