713 Kandungan Deepfake Pemimpin Politik Diturunkan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 713 kandungan pemalsuan imej atau deepfake membabitkan pemimpin parti politik diturunkan oleh Pemberi Perkhidmatan bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 15 September 2026.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tindakan berkenaan diambil hasil permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berdasarkan aduan yang dikemukakan, pelanggaran garis panduan komuniti Pemberi Perkhidmatan serta undang-undang tempatan yang berkuat kuasa.

“Bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 15 September 2026, hasil permohonan MCMC, sebanyak 713 kandungan pemalsuan imej/deepfake yang melibatkan pemimpin parti politik telah diturunkan oleh Pemberi Perkhidmatan.

“Tindakan penurunan oleh Pemberi Perkhidmatan ini dibuat berdasarkan aduan yang dikemukakan, pelanggaran garis panduan komuniti Pemberi Perkhidmatan serta undang-undang tempatan yang berkuat kuasa,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Af­nan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang meminta Kementerian Komunikasi menyatakan jumlah aduan dan tindakan terhadap kandungan deepfake membabitkan pemimpin parti politik sepanjang 2025 hingga 2026 serta langkah kerajaan memastikan penguatkuasaan tidak bersifat selektif berdasarkan kedudukan politik mangsa.

Menurut Fahmi, penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk deepfake, scam dan pemalsuan identiti, ditangani berdasarkan sifat serta elemen kesalahan dan bidang kuasa kementerian atau agensi penguatkuasaan berkaitan.

Katanya, bagi kandungan yang mempunyai unsur lucah, sumbang, palsu, mengancam, jelik melampau atau kandungan memudaratkan, MCMC boleh mengambil tindakan berdasarkan peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) atau Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).

Dalam pada itu, Fahmi memberi jaminan tindakan penguatkuasaan terhadap kandungan deepfake tidak dibuat berdasarkan fahaman politik, kedudukan atau latar belakang individu yang terlibat.

“Bagi memastikan penguatkuasaan tidak bersifat selektif, tindakan MCMC adalah berdasarkan peruntukan undang-undang, elemen kesalahan, fakta dan bukti, tanpa mengambil kira fahaman politik, kedudukan atau latar belakang individu yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, Seksyen 233 Akta 588 menetapkan elemen perlakuan dan niat yang perlu dipenuhi sebelum sesuatu perbuatan boleh dianggap sebagai kesalahan.

Menurutnya, pindaan kepada seksyen berkenaan turut disertakan dengan huraian setiap elemen kandungan, termasuk kandungan palsu, lucah, sumbang, mengancam dan jelik melampau.

Fahmi berkata, bagi kes yang melibatkan tindakan pendakwaan, rujukan dibuat kepada Jabatan Peguam Negara untuk penilaian dan pendakwaan hanya dilaksanakan selepas mendapat izin bertulis daripada Pendakwa Raya.

“Kes yang didakwa pula tertakluk kepada proses perbicaraan di Mahkamah, dengan tertuduh diberikan hak untuk mengemukakan pembelaan sebelum keputusan dibuat,” katanya.

Tambahnya, pihak yang terkilan dengan tindakan atau keputusan MCMC turut mempunyai mekanisme semak dan imbang dengan membuat rayuan kepada Tribunal Rayuan yang diwujudkan di bawah Akta 588 dan Akta 866.

Katanya, pihak berkenaan seterusnya boleh memohon semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan Tribunal Rayuan.

“Mekanisme ini membantu memastikan tindakan pengawalseliaan dan penguatkuasaan MCMC dilaksanakan berdasarkan undang-undang, fakta dan bukti serta tertakluk kepada proses semakan yang sewajarnya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles