70,240 Pekerja Dalam Transisi Kerjaya Hingga 25 September

KUALA LUMPUR: Seramai 70,240 pekerja direkodkan sedang melalui transisi kerjaya bagi tempoh Januari hingga 25 September 2026, berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, daripada jumlah itu, seramai 34,800 pekerja atau 49.54 peratus merupakan mereka yang mempunyai kelayakan Diploma dan ke atas.

Menurutnya, sektor pembuatan merekodkan jumlah transisi kerjaya tertinggi dengan 13,052 pekerja atau 18.58 peratus.

“Diikuti sektor Perdagangan Borong dan Runcit dengan jumlah pekerja seramai 12,910 orang atau 18.38 peratus dan sektor Pembinaan mencatatkan transisi kerjaya pada kadar 10.27 peratus atau 7,215 orang.

“Dalam tempoh yang sama, jumlah penempatan pekerjaan bagi mereka yang dalam transisi kerjaya adalah pada kadar 22.75 peratus atau 15,980 orang,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah terkini kehilangan pekerjaan tahun ini, sektor paling terjejas serta keberkesanan portal MYFutureJobs dalam menempatkan semula pekerja mahir yang diberhentikan susulan penutupan dan pengecilan syarikat.

Ramanan berkata, daripada jumlah pekerja yang berjaya ditempatkan semula, seramai 7,725 orang merupakan pekerja mahir berkelayakan Diploma dan ke atas.

“Jumlah itu bersamaan 48.34 peratus pekerja mahir yang telah kembali semula bekerja,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan PERKESO mengambil langkah proaktif bagi memastikan pekerja dalam transisi kerjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh yang singkat.

Menurutnya, secara purata, tempoh penempatan semula pekerjaan adalah sekitar tiga bulan.

“Sebagai galakan, Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) diberikan kepada mereka dengan kadar bayaran sebanyak 25 peratus daripada baki Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) yang masih belum dibayar dan dibayar secara pukal.

“Namun bermula 1 Oktober 2026, kadar bayaran baki EMP dinaikkan daripada 25 peratus kepada 50 peratus selaras dengan Pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan dan Perkhidmatan Pekerjaan 2026,” katanya.

Dalam pada itu, Ramanan berkata, portal MYFutureJobs PERKESO turut memainkan peranan sebagai platform utama pencarian pekerjaan negara dalam membantu pencari kerja dan individu yang sedang melalui transisi kerjaya mendapatkan peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan lebih cepat, teratur dan bersasar.

Katanya, portal berkenaan turut dilengkapi Sistem Career Bridge Tool yang menghubungkan pencari kerja, termasuk pekerja mahir yang kehilangan pekerjaan, dengan pekerjaan yang sepadan berdasarkan kelayakan, kemahiran, pengalaman serta keperluan pasaran buruh.

BBerkaitan

Latest articles