Kerajaan Tanggung RM980 Juta Setahun Selamatkan FELDA, Rugi Berbilion Akibat Salah Urus

NILAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kerajaan kini terpaksa menanggung pembayaran sebanyak RM980 juta setiap tahun bagi menampung kerugian FELDA yang berpunca daripada salah urus pentadbiran terdahulu.

Menurut beliau, keputusan kerajaan menanggung beban kewangan itu dibuat bagi memastikan peneroka tidak terus menjadi mangsa walaupun kerugian berbilion ringgit bukan berpunca daripada mereka.

Katanya, suatu ketika dahulu FELDA pernah mencatat keuntungan sehingga RM1 bilion setahun dan menjadi kebanggaan negara sebagai pengendali ladang terbesar di dunia di bawah kepimpinan tokoh terdahulu seperti Tan Sri Taib Andak dan Tan Sri Raja Alias.

“Namun apabila berlaku pertukaran kepimpinan, FELDA mengalami kerugian mencecah RM10 bilion akibat salah pengurusan.

“Apabila saya mengambil alih pentadbiran, saya fikir tidak adil jika peneroka yang perlu menanggung akibat kesilapan orang lain. Sebab itu kerajaan membuat keputusan untuk membayar ganti rugi sebanyak RM980 juta setiap tahun,” katanya ketika berucap pada program Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan di Desa Cempaka, malam tadi.

Dalam pada itu, Anwar turut menolak dakwaan pihak tertentu yang mendakwa beliau tunduk kepada DAP, sambil menegaskan beliau tidak gentar berdepan sebarang serangan politik.

“Saya pernah dihina, difitnah, dipukul dan dipenjarakan. Semua itu tidak melemahkan semangat saya. Kini Allah mentakdirkan saya menjadi Perdana Menteri dan saya mahu memastikan rakyat tidak kecewa dengan kepimpinan ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pentadbirannya tidak akan berkompromi dengan amalan rasuah dan penyelewengan, meskipun tindakan membanteras gejala itu mengundang kritikan daripada sesetengah pihak.

Menurutnya, pembangunan negara hanya boleh dicapai melalui perpaduan rakyat tanpa mengira kaum, selari dengan gagasan Malaysia MADANI.

“Saya telah mengarahkan pelaksanaan agenda pendigitalan dilaksanakan secara menyeluruh di bandar dan luar bandar tanpa mengira kawasan Melayu, Cina atau India. Jika kita terus berpecah atas isu kaum, negara tidak akan maju.

“Ada yang menuduh saya mengabaikan orang Melayu, tetapi tanah Melayu mana yang saya ambil? Sebaliknya, sebelum ini ada pihak yang mengaut hak orang Melayu sehingga tanah rizab dan kontrak Melayu turut terlepas,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles