Kerajaan Sasar Suntik Vaksin COVID-19 Kepada 75,000 Orang Sehari Dalam Program Vaksinasi Kebangsaan

Seramai kira-kira 75,000 orang rakyat negara ini dijangka akan disuntik vaksin koronavirus setiap hari di 600 buah Pusat Vaksinasi di seluruh negara apabila Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan bemula pada bulan Mac nanti.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata sasaran kerajaan ialah 75,000 suntikan vaksin COVID-19 sehari dan sasaran seterusnya ialah 150,000 suntikan sehari meliputi dos kedua.

Menurut beliau, kerajaan menjangkakan program vaksinasi terhadap 27 juta penduduk atau 80 peratus populasi negara ini dapat diselesaikan menjelang Mac 2022 atau secepatnya hujung tahun ini.

“Kita mahu berusaha melaksanakan vaksinasi untuk orang ramai sebanyak mungkin pada suku kedua, ketiga dan keempat.

“Kerajaan sudah mengenal pasti 600 tapak (pusat vaksinasi) bagi pelaksanaan program ini. Kita juga sedang mengenal pasti kawasan seperti stadium atau lokasi acara yang luas bagi tujuan itu,” katanya dalam satu wawancara bersama CodeBlue, Isnin lepas.

BACA JUGA Bukan Saya Seorang Yang Buat Keputusan Untuk KKM – Dr Noor Hisham

Khairy Jamaluddin turut yakin bahawa sasaran kerajaan itu mampu dicapai berdasarkan penyediaan fasiliti mencukupi termasuk tempoh operasi pusat vaksinasi selama 24 jam sehari.

“Saya fikir, jika kita pertimbangkan dalam 75,000 orang sehari, dengan kombinasi 600 pusat, ditambah kawasan vaksinasi luas yang saya sedang aturkan, jika rancangan ini berjalan lancar, kita boleh selesaikan pa­ling cepat pada Disember (ini),” katanya.

Sebanyak 600 Pusat Vaksinasi itu antaranya melibatkan hospital kerajaan, hospital swasta, hospital universiti, hospital Angkatan Tentera Malaysia, klinik kesihatan dan klinik swasta.

Beliau berkata, perbincangan perlu diadakan di peringkat kerajaan negeri dengan klinik swasta bagi melihat kapasiti vaksinasi dan lokasi masing-masing.

“Kadar vaksinasi di klinik swasta, kita unjurkan tidak akan terlalu tinggi, ini lebih kepada kemudahan kepada golongan tertentu seperti warga emas.

“Jika mereka tinggal di kawasan tertentu yang mungkin jauh dari hospital atau pusat berkenaan, mereka boleh pergi ke klinik swasta dengan merujuk senarai dalam laman web serta aplikasi MySejahtera untuk membuat janji temu,” katanya.

Ujar beliau, kerajaan juga akan menanggung kos vaksinasi Co­vid-19 jika dibuat di klinik swasta supaya orang ramai boleh mendapatkannya secara percuma.

Khairy Jamaluddin turut memaklumkan bahawa kerajaan akan menambah jumlah kakitangan vaksinasi daripada 7,000 kepada 10,000 orang, bergantung kepada bilangan pusat vaksinasi.

Selain doktor yang tergolong sebagai petugas vaksinasi, beliau berkata, pembantu perubatan, jururawat, penyelia jururawat, pelajar perubatan, sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan juga akan terbabit sama.

“Kita bukan hanya mengge­rakkan mereka dalam perkhidmatan kesihatan, malah komuniti sukarelawan seperti Bulan Sabit Merah, St. John Ambulance dan seberapa ramai mungkinuntuk turut sama terlibat,” jelasnya.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin berkata, beliau juga peka dengan kemungkinan berlaku masalah kelewatan perolehan bekalan membabitkan vaksin yang dibangunkan Pfizer dan AstraZeneca selain yang dihasilkan firma China serta Rusia.

“Portfolio vaksin akan terus diimbangi dan disesuaikan supaya kita mampu memperoleh bekalan dalam jumlah sepatutnya sehingga suku keempat tahun ini.

“Dalam tempoh sebulan (selepas program bermula) atau kurang dari itu, kerajaan akan memperoleh jangkaan memuaskan tentang tempoh program vaksinasi ini boleh diselesaikan de­ngan mengambil kira kese­diaan bekalan,” katanya.

Latest articles

Related articles

spot_img