SEREMBAN: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan tidak boleh dilakukan secara automatik hanya kerana Johor telah mengambil langkah membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurut beliau, sebarang cadangan untuk membubarkan DUN Negeri Sembilan perlu mematuhi peruntukan perlembagaan dan adat pemerintahan negeri yang unik, sekali gus tidak boleh diputuskan secara unilateral oleh mana-mana pihak.
Mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, yang dilaporkan menyatakan Negeri Sembilan bersedia membubarkan DUN sekiranya Johor berbuat demikian terlebih dahulu, Mohamed Khaled berkata kenyataan itu tidak mengambil kira proses sebenar yang perlu dilalui sebelum sesuatu pembubaran boleh dilaksanakan.
Beliau menjelaskan bahawa Negeri Sembilan mempunyai sistem tersendiri yang melibatkan peranan Yang di-Pertuan Besar serta Undang Luak Yang Empat dalam membuat keputusan penting berkaitan pentadbiran negeri, termasuk soal pembubaran DUN.
“Di Negeri Sembilan, keputusan seperti ini tidak boleh dibuat oleh seorang individu sahaja. Ia memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Besar dan turut melibatkan persetujuan Empat Undang,” katanya ketika ditemui pada program Sembang Santai Bersama Pemandu Kereta Sewa dan Teksi di Terminal Bas dan Teksi Tun Sri Lanang, pada Selasa.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, hanya selepas wujud kesepakatan antara Yang di-Pertuan Besar dan Undang Luak Yang Empat, barulah pembubaran DUN boleh dipertimbangkan dan dilaksanakan.
Katanya, tanpa persetujuan bersama pihak-pihak berkenaan, tiada keperluan untuk Negeri Sembilan mengadakan pilihan raya negeri meskipun terdapat perkembangan politik di negeri lain.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor berkuat kuasa semalam bagi membuka laluan kepada PRN Johor ke-16.
Mengikut peraturan pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh sehingga 60 hari selepas pembubaran DUN untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.
Pada PRN Johor 2022, Barisan Nasional berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN. Pakatan Harapan pula memperoleh 12 kerusi, manakala Perikatan Nasional memenangi tiga kerusi dan MUDA satu kerusi.










