Pemandu Mercedes Punca Lima Individu Maut Direman

BATU PAHAT: Tindakan memandu secara melulu yang dipercayai menjadi punca nahas ngeri sehingga meragut lima nyawa kini membawa padah apabila seorang remaja lelaki berusia 19 tahun direman selama dua hari bagi membantu siasatan kes tersebut.

Perintah reman sehingga esok dikeluarkan Majistret Mustaqim Sukarno di Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Isnin bagi membolehkan pihak berkuasa melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Remaja terbabit yang dipercayai memandu sebuah Mercedes-Benz A250 tiba di kompleks mahkamah kira-kira jam 10.20 pagi dengan berpakaian lokap berwarna coklat sambil diiringi anggota polis.

Semalam, polis mengesahkan penahanannya susulan kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Renggam-Simpang Renggam yang mengorbankan lima individu termasuk empat ahli sebuah keluarga.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memandu secara berbahaya bersama sebuah BMW 530e yang dipandu abangnya berusia 22 tahun.

Menurut beliau, kejadian sekitar jam 1.15 tengah hari itu berlaku apabila BMW berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh beberapa kenderaan lain iaitu Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira serta sebuah lagi Mercedes-Benz.

Impak pelanggaran tersebut mengakibatkan empat sekeluarga, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan serius pada kepala dan badan.

Dalam perkembangan sama, pemandu BMW 530e yang juga abang kepada suspek dilaporkan meninggal dunia ketika dibawa ke hospital akibat kecederaan parah yang dialaminya.

BBerkaitan

Latest articles