Kerajaan Perpaduan, Tanding Pilihan Raya Dua Isu Berbeza, Isham Beri Bayangan Akan Dipecat?

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil meminta rakan sejawatannya, Datuk Lokman Noor Adam tidak mencampuradukkan titah Yang di-Pertuan Agong agar UMNO bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Mengakui bahawa beliau tiada masalah dan menjunjung titah tersebut, bagaimanapun Isham menegaskan beliau tidak pernah bersetuju dengan keputusan UMNO untuk bergabung dalam pilihan raya bersama PH.

“Berada dalam kerajaan dan pergi pilihan raya bersama adalah dua perkara yang berbeza. Seri Paduka tidak pernah titah kita pergi pilihan raya bersama PH,” jelasnya.

Isham sebelum ini lantang mengkritik tindakan UMNO bergabung dengan PH dalam pilihan raya di enam negeri.

Bagaimanapun langkah itu dakwa Isham, hanya memakan diri apabila UMNO mencatatkan prestasi yang sangat buruk.

Kritikan Isham mengundang perhatian Lokman yang mendesak Isham meletak jawatan.

Beliau berkata, Isham sepatutnya berbuat demikian sekiranya tidak boleh menerima keputusan MKT UMNO bekerjasama dengan PH yang dipersetujuinya ketika masih menjadi Ketua Penerangan UMNO.

Isham menegaskan beliau tidak akan sesekali meletakkan jawatannya walau didesak sedemikian rupa.

Bagaimanapun Isham membayangkan dirinya mungkin antara beberapa ahli yang akan dipecat oleh parti minggu ini.

Sekiranya ura-ura itu benar, beliau menyerahkan kepada kepimpinan parti dan MKT jika mereka mahu berbuat demikian.

“Perjuangan saya ikhlas kerana agama, bangsa dan tanah air dan bukan kerana kepentingan peribadi.

“Manusia boleh singkirkan manusia namun Allah SWT menentukan kifarahnya,” katanya

Beliau juga yakin akar umbi sentiasa berada di belakangnya dan pada masa yang sama, mengingatkan semua pihak dalam UMNO bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih di dalam penjara.

“Saya minta supaya kerajaan dan kepimpinan UMNO beri keadilan kepada Bossku dan jangan lupakan dia,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles