Kerajaan Galak Rakyat Lapor Pelanggaran SOP Dengan Gambar Dan Video

Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menggalakkan orang ramai untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan untuk Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini.

Beliau menyeru kepada orang ramai untuk membantu pihak berkuasa kerana kerajaan tidak akan mampu untuk memantau semua kawasan sama ada semua pihak mematuhinya.

Galakan itu dibuat oleh beliau dalam sidang media harian berkaitan hal ehwal keselamatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Laporan boleh dibuat di balai polis terdekat, pihak berkuasa tempatan (PBT), talian hotline Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau pusat panggilan setempat MyGCC.

“Jika tuan-tuan nampak dengan jelas pihak yang ingkar dengan pematuhan SOP ini, ambil gambar jelas atau lebih baik video sebagai bukti untuk dilaporkan.

“Boleh laporkan kepada balai polis terdekat, PBT, talian hotline MKN iaitu 88882010 atau melalui MyGCC 80008000 yang beroperasi 24 jam,” katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyurat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Putrajaya hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perutusan Khas Perdana Menteri sempena Hari Pekerja memaklumkan hampir semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi secara terkawal dan berhati-hati menjelang pelaksanaan PKPB yang bermula hari ini.

Penjarakan sosial di dalam tren, antara SOP baharu yang mula dilaksanakan.

Beliau berkata, kebenaran itu tertakluk kepada SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.

Jelasnya, aktiviti-aktiviti sukan yang melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan turut tidak dibenarkan setakat ini.

Ia termasuk sukan bola sepak, ragbi, renang dan semua acara sukan di dalam bangunan dan stadium.

Bagaimanapun, aktiviti sukan outdoor yang tidak melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai dibenarkan. – TRI

BBerkaitan

Latest articles