AYER KEROH: Kerajaan Persekutuan digesa mengambil langkah segera menangani isu kos sara hidup rakyat di Sabah dan Sarawak, khususnya melibatkan kuota bahan bakar bersasar serta harga tiket penerbangan domestik yang melambung tinggi.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Roland Engan berkata, reformasi yang diperjuangkan parti tidak boleh sekadar menjadi retorik, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan nyata yang memberi impak terus kepada kehidupan rakyat di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, keperluan logistik dan perhubungan di Bornean amat berbeza berbanding Semenanjung kerana penggunaan kenderaan pacuan empat roda merupakan satu keperluan mendesak akibat faktor bentuk muka bumi dan jaringan jalan raya yang mencabar.
”Penduduk di Sabah dan Sarawak memerlukan kenderaan pacuan empat roda bukan kerana gaya hidup, tetapi keperluan.
“Perjalanan dari Miri ke kampung halaman saya sahaja mengambil masa lapan jam melalui jalan balak.
“Sebab itu kita minta kerajaan mempertimbangkan kuota subsidi diesel dan petrol bersasar dinaikkan sehingga 500 liter bagi memastikan kebajikan rakyat di sana terbela,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Kongres Nasional Keadilan 2026, pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau turut menyentuh isu harga tiket penerbangan domestik yang disifatkan semakin membebankan rakyat, terutamanya bagi laluan yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
”Kadar tambang penerbangan dari Miri ke Kuala Lumpur atau Miri ke Kuching kadangkala mencecah lebih RM1,000. Kerajaan perlu campur tangan dalam mengawal harga tiket syarikat penerbangan ini,” tegasnya.
Selain isu ekonomi rakyat, Roland turut mengemukakan penekanan berhubung keperluan perubahan minda dan penyatuan dalam kalangan ahli parti.
Beliau menggesa agar seluruh warga PKR meletakkan identiti sebagai ‘Anak Malaysia’ di carta teratas tanpa mengenyepikan hak suku kaum serta negeri masing-masing, di samping memperkasa iltizam moral dan memahami kedudukan Persekutuan Malaysia yang dibentuk berasaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menyentuh mengenai dinamika dalaman parti pasca-kongres, Roland mengakui wujud pelbagai pandangan dan kekecewaan di peringkat awal, namun beliau yakin perhimpunan kali ini berjaya menjadi medan terbaik untuk merawat luka serta menyatukan semula saf kepimpinan dan akar umbi demi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
”Bila pimpinan melangkah memohon maaf dan mendengar luahan akar umbi, luka itu sembuh.
“Kita pulang dari kongres ini dengan hati yang lapang, bersiap sedia untuk terus melangkah ke hadapan demi masa depan negara,” ujarnya.










