Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sentiasa Cakna Isu Rakyat Di Luar Bandar

Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sentiasa Cakna Hal Ehwal Penduduk Di Luar Bandar Khususnya Ketika Covid-19

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sentiasa mencari jalan penyelesaian yang berkonsepkan di luar kotak untuk menyelesaikan isu yang dihadapi penduduk di luar bandar terutamanya ketika negara berdepan masalah jangkitan Covid-19.

Menteri KPLB Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata walaupun kini jumlah penduduk yang menetap di luar bandar tidak ramai seperti dulu kerana orang ramai sudah berhijrah ke bandar tetapi pihak KPLB perlu sentiasa memberikan fokus kepada mereka untuk membantu mereka yang bermasalah.

Dalam negara ini, kini hanya kira-kira 23.8 peratus penduduk tinggal di kawasan luar bandar dan selebihnya sudah berhijrah ke bandar kerana proses kemajuan negara yang pesat membangun.

Dr Abdul Latiff yang menjadi Ahli Parlimen Mersing mengambil contoh tempat yang diwakilinya dan mengatakan bahawa Mersing ialah sebuah kampung dan cara hidup di sana adalah cara hidup mereka yang berada di luar bandar.

Bercakap ketika menjadi tetamu dalam program terbitan RTM Bicara Naratif baru-baru ini, beliau mengambil contoh keadaan hidup nelayan di Mersing yang pendapatan mereka teruk terjejas ketika penularan Covid19 kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Katanya, ketika PKP tangkapan nelayan di Mersing begitu banyak khususnya sotong kerana ketika ini ialah musim mencandat sotong tetapi kerana PKP orang tengah sudah tidak ada untuk membeli hasil-hasil tangkapan berkenaan.

“Mereka boleh pergi tangkap ikan, isunya bila ada PKP, pertama sekali orang tengah dah tak ada. Hasil tangkapan bagus… sekarang ini musim candat sotong, sotong memang banyak tapi bila dah sampai dekat jeti, tak ada orang nak beli.

“Saya punya DO (Pegawai Daerah) kata, Menteri, boleh tak bantu kita macam mana, hendak suruh FAMA masuk, ada kekangan dia, saya fikir-fikir dan kata kita kena lakukan sesuatu yang diluar kotak,” katanya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Pada pendapat beliau, Covid19 mengubah hidup rakyat bukan sahaja sekarang tapi pada masa akan datang.

Menurut Dr Abdul Latiff, di Mersing ada enam kampung Orang Asli. Pihak kementerian menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) komited memberikan bantuan kepada mereka dengan pemberian bakul makanan untuk isi rumah orang asli untuk meringankan beban mereka sepanjang tempoh PKP ini.

Orang asli biasanya tinggal dalam sebuah rumah dengan keluarga lebih daripada satu dan bukannya ada satu sahaja isi rumah. Kadang-kadang, ada satu rumah yang didiami oleh empat keluarga. Oleh itu, bakul makanan yang diberikan akan dipastikan mencukupi

Portal Berita Harian pada 8 April 2020 melaporkan KPLB mengagihkan bakul makanan bernilai RM11 juta kepada Orang Asli.

Dr Abd Latiff berkata mereka menyerahkan pelbagai sumbangan antaranya barangan keperluan bernilai RM100, kit kebersihan seperti pembasmi kuman, topeng hidung dan mulut, sabun dan ubat.

Tempoh PKP yang akan berakhir pada 28 April 2020 telah dilanjutkan lagi selama dua minggu malam tadi susulan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selama 14 hari lagi sehingga 12 Mei 2020.

Bermula hari ini, umat Islam di seluruh negara mula berpuasa dalam bulan Ramadan. – TRI

Latest articles

Related articles

spot_img