Ummi Umairah Enggan Minta Maaf, Pertahan Kritikan Terhadap Derma Untuk Najib

KUALA LUMPUR: Pelajar Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit, menegaskan beliau tidak akan memohon maaf atas kenyataannya yang menyifatkan tindakan menggunakan wang hasil titik peluh untuk membantu golongan elit yang disabitkan kes rasuah sebagai perbuatan bodoh dan tidak bermoral.

Sebaliknya, beliau mempertahankan pendirian itu dan berharap lebih ramai individu berani menyuarakan pendapat mengenai isu rasuah serta integriti tanpa gentar berdepan kecaman.

Menerusi hantaran di Instagram hari ini, Ummi Umairah berkata beliau tetap berpegang pada persoalan yang dibangkitkan dalam Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Saya tetap mempertahankan soalan yang dikemukakan dan tidak akan memohon maaf.

“Saya berharap lebih ramai orang mendapat keberanian untuk bersuara mengenai rasuah dan integriti tanpa rasa takut,” katanya.

Kontroversi itu tercetus apabila beliau mempersoalkan tindakan orang ramai mengumpul sumbangan bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, membayar denda mahkamah berjumlah RM50 juta.

Persoalan itu dibangkitkan dalam sebuah forum terbuka yang turut menampilkan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, serta Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai panel.

Kenyataan berkenaan mencetuskan perdebatan hangat di media sosial, termasuk kecaman dan komen berbaur ugutan terhadap mahasiswa terbabit.

Bagaimanapun, Ummi Umairah menegaskan pendiriannya berteraskan prinsip integriti, kesaksamaan dan keadilan, selain penentangan terhadap rasuah yang disifatkannya sebagai perjuangan berterusan.

Beliau berkata, pendiriannya bukan hanya ditunjukkan dalam isu membabitkan Najib, malah turut dizahirkan menerusi penglibatan dalam demonstrasi berkaitan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Selain itu, beliau turut pernah menyuarakan isu ketidaksamaan peluang di universiti sendiri.

“Saya tidak pernah memilih isu untuk diperjuangkan. Saya hadir dalam demonstrasi Azam Baki.

“Saya juga pernah bersuara mengenai ketidaksamaan peluang di universiti saya. Sejak hari pertama, saya konsisten menyuarakan pendirian saya,” katanya.

Mengulas reaksi masyarakat terhadap kenyataannya, Ummi Umairah meluahkan kekecewaan terhadap sikap segelintir pihak yang didakwanya dipengaruhi budaya buli siber, obsesi politik dan mentaliti feudal.

Beliau turut mempertahankan penggunaan perkataan bodoh dalam konteks mengkritik sesuatu perbuatan, sambil menegaskan bahawa ia tidak semestinya ditujukan kepada individu secara peribadi.

Menurutnya, ungkapan itu digunakan untuk menggambarkan tindakan yang dianggap tidak masuk akal atau sukar dipercayai, bukannya melabel seseorang sebagai bodoh.

“Menyifatkan sesuatu perbuatan sebagai bodoh bukanlah suatu kesalahan di sisi undang-undang. Ia merupakan ungkapan tegas untuk menggambarkan sesuatu perbuatan yang sukar dipercayai atau tidak masuk akal.

“Pemikiran kritis semakin terhakis. Orang ramai membaca, tetapi tidak berfikir, membuat penyelidikan atau memahami perkara yang dibaca. Konteks diputarbelitkan.

“Menyifatkan sesuatu perbuatan sebagai bodoh tidak sama dengan memanggil seseorang itu bodoh,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles