Tun M Akui Masih Berduka, Syukur Dapat Hidup Bersama Hasmah Selama 70 Tahun

KUALA LUMPUR: Tiga minggu selepas kehilangan isteri tercinta, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui masih belum pulih sepenuhnya daripada kesedihan, namun tetap bersyukur kerana dikurniakan peluang menjalani kehidupan bersama Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali selama 70 tahun.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau mula berusaha kembali ke pejabat sejak sehari dua lalu, tetapi kekuatannya masih belum pulih sepenuhnya.

Dalam kenyataan hari ini, Mahathir turut menzahirkan penghargaan terhadap doa orang ramai buat Allahyarhamah isterinya, sama ada ketika menziarahi pusara mahupun dari jauh.

Beliau berkata, doa dan sokongan berkenaan mengingatkannya untuk terus bersyukur kepada Allah SWT meskipun berdepan kehilangan yang amat menyakitkan.

Mahathir turut mewakili keluarganya merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan pengebumian Hasmah serta mereka yang tidak putus-putus mendoakan Allahyarhamah.

Pada masa sama, beliau memohon maaf sekiranya terdapat salam, lambaian atau ucapan takziah yang belum sempat dibalas sepanjang tempoh berkabung.

Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 28 September lalu, pada usia 100 tahun, sebelum dikebumikan di Pusara Negara, Putrajaya.

Mahathir dan Hasmah mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956 dan menyambut ulang tahun perkahwinan ke-70 pada Ogos lalu. Pasangan itu dikurniakan tujuh cahaya mata.

Selain dikenali sebagai isteri kepada Perdana Menteri paling lama berkhidmat di Malaysia, Hasmah turut mencatat sejarah sebagai antara doktor wanita Melayu terawal, selain menyumbang dalam bidang kesihatan awam dan kebajikan masyarakat.

BBerkaitan

Latest articles