Kembalikan Hak Mutlak Rakyat Palestin, Malaysia Kecam Keganasan Rejim Zionis

KUALA LUMPUR: Hak mutlak rakyat Palestin, terutama untuk mengembalikan tanah yang telah dirampas oleh zionis dan hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara perlu dikembalikan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Malaysia kekal dengan pendirian menyokong Palestin, sebagai mana yang pernah ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada 22 September lalu.

“Pendirian lantang dan tegas Malaysia telah kerap kali dinyatakan secara jelas dan terang di setiap lapangan, keadaan dan masa.

“Ia termasuk di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya ketika mengemukakan usul berhubung perkembangan semasa konflik Palestin-Israel di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, kelantangan negara ini terhadap serangan pihak lawan terhadap Palestin dapat dilihat menerusi kenyataan keras yang seringkali dikeluarkan negara dalam mengecam dan membantah segala bentuk provokasi dan tindakan keganasan.

Ujarnya, ia termasuk menggesa masyarakat antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk terus menekan rejim Israel agar menghentikan dasar apartheid dan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin.

“Malaysia turut menyertai beberapa negara lain dalam mengemukakan kenyataan bertulis kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 25 Julai 2023 mengenai pendudukan, penempatan haram dan pengilhakan (pengambilan wilayah tanpa kebenaran) yang berpanjangan Israel ke atas Wilayah Palestin sejak 1967.

“Malaysia terbuka dan akan terus menyokong segala usaha konkrit dan realistik untuk mencari jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel.

“Penyelesaian ini hendaklah berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan PBB serta memenuhi teras-teras yang telah saya nyatakan dahulu.

“Ia juga termasuk memberi sokongan terhadap keabsahan rakyat Palestin membentuk sebuah negara yang bebas dari pencerobohan Israel yang berterusan dalam meluaskan penempatan Yahudi di Tebing Barat,” ujarnya.

Katanya lagi, sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia amat jelas dan merentasi segala aspek baik dari segi politik, ekonomi dan penyaluran bantuan kewangan, pembangunan kapasiti, termasuk pembangunan semula infrastruktur.

Tambahnya, sumbangan dan bantuan itu disalur dengan pelbagai cara sama ada secara dua hala, serantau atau pelbagai hala.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menggesa ahli-ahli Parlimen menyokong sepenuhnya ketetapan yang digariskan kerajaan atas semangat Perpaduan dan soladiriti rakyat Malaysia dan berdasarkan prinsip-prinsip Malaysia Madani seperti kemampanan, kesejahteraan, hormat dan ihsan.

Ketetapan itu adalah Malaysia amat bimbang dengan ketegangan yang semakin memuncak di bumi Palestin yang telah melihat ribuan nyawa melayang termasuk orang awam yang tidak berdosa, bilangan kecederaan yang semakin meningkat mendadak dan kerosakan harta benda yang amat besar.

Tegasnya, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu mengambil tindakan segera untuk menggesa semua pihak menghentikan segala tindakan keganasan dan pertempuran demi menghormati dan melindungi nyawa orang awam.

“Masyarakat antarabangsa hendaklah meningkatkan tekanan ke atas semua pihak untuk mengambil tindakan segera menghentikan pertempuran demi keamanan dan kestabilan serantau.

“Rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel, hak dikembalikan tanah yang telah
dirampas oleh Israel dan hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles