PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan kompromi terhadap mana-mana warganya yang tidak mempunyai integriti dan mengambil kesempatan merosakkan keselamatan negara demi kepentingan atau habuan peribadi.
Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman memberi amaran keras itu sambil menembelak tindakan sebilangan pegawai yang tergamak membocorkan serta menggodam sistem keselamatan kementerian sendiri.
Beliau menegaskan, sebagai benteng utama keselamatan negara, warga KDN sepatutnya menjadi pihak paling hadapan memelihara kedaulatan tanah air dan bukannya merobohkannya dari dalam.
”Tugas kita di KDN adalah sebagai benteng utama atau benteng terakhir negara dalam mempertahankan keselamatan dalam negeri, tapi kita sendiri yang godam sistem kita… apa benda yang kita buat?
”Saya fikir ini bukan perkara yang logik untuk dilakukan oleh seorang yang bekerja dengan Kementerian Dalam Negeri.
”Kalau inilah yang menjadi hasrat kita dengan harapan boleh dapat habuan yang banyak daripada itu, keluarlah dari KDN!” katanya tegas.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Perhimpunan Bulanan KDN di sini, pada Selasa.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh.
Mengulas lanjut, Awang Alik meluahkan rasa terkilan dengan insiden membabitkan integriti pegawai kementerian, termasuk isu memeras ugut warga asing serta membiarkan pendatang haram menetap di negara ini secara salah.
Jelas beliau, salah guna kuasa serta sifat tamak dalam diri pegawai terlibat bukan sahaja mencemarkan imej kementerian, malah berisiko mengembalikan negara ke era kehancuran dan ketidaktenteraman.
”Kemerdekaan ini bukan pengakhir kepada keadaan negara kita, bahkan ia merupakan permulaan kepada perjalanan negara yang sebenar.
“Yang paling penting adalah bagaimana kita mensyukuri dan menghargai kemerdekaan yang kita terima.
”Ingat, apa yang kita nikmati hari ini adalah perkara yang kita pinjam daripada generasi akan datang. Menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan negara ini berada dalam keadaan baik apabila diserahkan kelak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh warga KDN agar kembali menghayati nilai integriti, kejujuran dan keikhlasan dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan demi memelihara keselamatan serta ketenteraman awam.










