Nepal Pertimbang Langkah Undang-undang, Nasib 55 Rakyat Malaysia Masih Belum Terjawab

PUTRAJAYA: Nasib 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan bencana banjir dan tanah runtuh di Nepal kini memasuki fasa baharu apabila kerajaan negara itu mempertimbangkan langkah perundangan bagi menentukan status individu yang masih belum dikenal pasti.

Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, cadangan berkenaan turut melibatkan warga asing yang statusnya masih belum dapat ditentukan, namun sebarang tindakan masih tertakluk kepada proses perundangan domestik Nepal dan belum berkuat kuasa setakat ini.

Menurut Wisma Putra, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan terus berunding dengan pihak berkuasa Nepal bagi mendapatkan penjelasan terperinci mengenai proses serta dokumentasi yang mungkin diperlukan sekiranya langkah itu dilaksanakan.

“Kerajaan Malaysia akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Nepal serta menyelaras tindakan dengan agensi Malaysia berhubung proses-proses yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu turut menegaskan bahawa sebarang penentuan rasmi mengenai status seseorang individu, termasuk pengeluaran dokumen berkaitan, hanya boleh dibuat berdasarkan undang-undang, prosedur serta bidang kuasa pihak berkuasa Nepal dan Malaysia.

Perkembangan itu dimaklumkan ketika Wisma Putra mengadakan sesi pertemuan tertutup dengan 95 waris dan wakil keluarga, yang mewakili keluarga 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi selepas bencana pada 26 Ogos lalu.

Pertemuan berkenaan berlangsung dari jam 10.15 pagi hingga kira-kira 3 petang bagi memberikan penjelasan mengenai perkembangan yang telah disahkan, selain membolehkan waris mengemukakan persoalan secara terus kepada kementerian dan agensi terbabit.

Antara agensi yang hadir ialah Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kimia Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Kaunselor daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut berada dalam sesi berkenaan bagi menyediakan sokongan kepada ahli keluarga yang terkesan.

Wisma Putra berkata, memandangkan usaha mengesan dan mendapatkan kepastian mengenai status mangsa kini memasuki fasa jangka panjang, perbincangan turut memberi tumpuan kepada kemungkinan proses perundangan dan pentadbiran yang perlu dilalui keluarga terbabit.

Sebelum ini, kerajaan menegaskan bahawa berakhirnya penugasan SMART di Nepal tidak bermakna usaha menentukan status 55 rakyat Malaysia berkenaan dihentikan. Kesemua mereka kekal direkodkan sebagai masih belum dapat dihubungi sementara proses pengesahan diteruskan.

Wisma Putra turut meminta orang ramai dan media supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai individu yang statusnya masih belum disahkan, selain menghormati privasi serta keadaan emosi keluarga yang masih menantikan kepastian.

Bencana banjir dan aliran puing pada 26 Ogos lalu, yang dikaitkan dengan runtuhan ais dan batu di kawasan tadahan hulu Lhende Khola di Tibet, dilaporkan mengorbankan lebih 1,450 orang, manakala ribuan lagi masih belum dapat dikesan.

BBerkaitan

Latest articles