KUALA LUMPUR: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dikatakan sudah mempunyai pendekatan tersendiri untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri tidak terhenti walaupun pelantikan 10 Exco dibatalkan.
Ketua UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, Ismail mempunyai ‘formula tertentu’ bagi memastikan jentera pentadbiran negeri kekal bergerak dan segala urusan berkaitan kepentingan rakyat dapat diteruskan.
Menurutnya, soal kelangsungan pentadbiran negeri menjadi antara perkara utama yang dibincangkan dalam pertemuan khas ADUN BN dan PN bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.
“Sudah tentu Menteri Besar mempunyai formula tertentu untuk menggerakkan jentera kerajaan supaya agenda dan program yang menyentuh kepentingan rakyat dapat diteruskan,” katanya.
Jalaluddin yang juga ADUN Pertang berkata, pertemuan itu turut menekankan keperluan memastikan kerajaan negeri terus berfungsi seperti biasa dalam menghadapi perkembangan semasa.
Katanya, beberapa pendekatan sedang diteliti bagi memastikan pentadbiran Negeri Sembilan dapat diteruskan tanpa menjejaskan kepentingan rakyat.
“Daripada perbincangan yang panjang lebar itu, insya-Allah akan ada pendekatan tertentu supaya kerajaan negeri dapat terus berjalan seperti biasa demi kepentingan rakyat,” katanya.
Pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan sebelum ini dibatalkan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, berkuat kuasa 20 September.
Keputusan itu kemudiannya diwartakan pada 24 September, dengan warta berkenaan menyatakan pembatalan pelantikan dibuat selepas kesemua Exco terbabit didapati melanggar ikrar taat setia kepada Tuanku Muhriz.










