Kebersamaan, Saling Menerima Kunci Kejayaan BN-PH Hari Ini

KUALA LUMPUR: Kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dengan membentuk Kerajaan Perpaduan pada mulanya dianggap mustahil dan dipandang sinis oleh sesetengah pihak.

Ada yang merasakan gandingan musuh politik ini tidak akan bertahan lama.

Namun atas dasar keterbukaan dan setiap pemimpinnya mengamalkan sikap berlapang dada, perang politik dan ideologi diketepikan demi menggalas tanggungjawab untuk rakyat dan negara.

Kebelakangan ini, semakin kerap kedengaran pujian dan kata-kata manis yang disuarakan pemimpin-pemimpin parti komponen di dalam Kerajaan Perpaduan terhadap rakan mereka.

Diajukan hal ini, Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyambut baik penerimaan BN dan PH, sejak dari mula penubuhan Kerajaan Perpaduan sehinggalah bakal berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

“Isunya ialah kerjasama politik. Setiap parti kekal dengan prinsip dan pendirian masing-masing. Dan setiap rakan kerjasama saling menyokong dan mendokong rakan kerjasama dalam isu-isu bersama melibatkan Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada The Rakyat Insight, hari ini.

Khairuddin, yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS sebelum ini percaya baik BN dan PH, masing-masing sebenarnya mempunyai prinsip dan perjuangan yang sama.

“Tidak sukar untuk mewujudkan kesesuaian antara parti-parti BN dn PH kerana titik kerbersamaan tersangat banyak.

“Dan itu yang telah berjaya ditunjukkan oleh semua pihak khususnya dalam gerak kerja bersama untuk PRN.

“Hikmah PRN ialah mendekatkan lagi hubungan antara jentera dan pendokong parti-parti yang bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles