PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan Malaysia tidak mengiktiraf sebarang dokumen perjalanan yang dikeluarkan oleh Israel, selain terus memperketat kawalan sempadan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, KDN berkata langkah itu selaras dengan pendirian Kerajaan MADANI yang menolak hubungan diplomatik dengan Israel, di samping mempertahankan hak rakyat Palestin serta melindungi kepentingan nasional.
Menurut kementerian itu, dokumen perjalanan yang dikeluarkan oleh Israel tidak diterima bagi tujuan kemasukan ke Malaysia dan dasar berkenaan dilaksanakan secara konsisten menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155), Akta Pasport 1966 (Akta 160), peraturan imigresen yang berkuat kuasa serta penilaian keselamatan oleh agensi berkaitan.
“KDN menyokong sepenuhnya pendirian tegas kerajaan sebagaimana yang ditegaskan oleh Perdana Menteri berhubung isu kemasukan warganegara Israel, komitmen mempertahankan hak rakyat Palestin serta usaha memelihara kepentingan negara,” menurut kenyataan itu.
KDN menjelaskan setiap permohonan kemasukan warga asing akan melalui proses pemeriksaan imigresen, semakan keselamatan dan penilaian risiko secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat.
Tegasnya, mana-mana individu yang dikenal pasti berpotensi mengancam keselamatan, ketenteraman awam atau kepentingan negara, termasuk mereka yang tergolong sebagai imigran larangan di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/1963, tidak akan dibenarkan memasuki Malaysia dan boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang.
Dalam pada itu, KDN memaklumkan pengurusan pintu masuk negara dilaksanakan secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta agensi penguatkuasaan lain.
Bagi memperkukuh lagi aspek keselamatan, kementerian itu berkata usaha mempertingkat kawalan sempadan akan diteruskan melalui penggunaan teknologi, perkongsian risikan dan pemprofilan risiko yang lebih berkesan.
“KDN kekal komited melaksanakan segala dasar serta keputusan kerajaan secara profesional, telus dan berintegriti demi memastikan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.










