PAPAR: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) mengambil keputusan untuk keluar daripada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai langkah awal parti itu memperkukuh kedudukan dan membuat persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.
Presiden KDM, Priscella Peter berkata keputusan berkenaan dipersetujui bersama Majlis Tertinggi parti selepas mengambil kira kepentingan KDM serta keperluan mengembalikan keyakinan rakyat, khususnya di peringkat akar umbi.
Menurutnya, KDM mahu mempunyai hala tuju yang lebih jelas dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU), selain tidak mahu menunggu sehingga pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen sebelum membuat persiapan politik.
“Keputusan ini bukan mudah, namun kami mahu menunjukkan kepada rakyat dan ahli di akar umbi bahawa KDM mempunyai hala tuju yang jelas.
“Kami perlu mula membina semula keyakinan rakyat dari sekarang sebagai persediaan menghadapi PRN dan PRU akan datang,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.
Priscella berkata perkembangan politik selepas pilihan raya terdahulu turut menjadi antara faktor yang mendorong KDM untuk memilih haluan di luar kerajaan GRS.
Bagaimanapun, beliau menegaskan KDM tidak berhasrat untuk bertanding sendirian pada PRU akan datang.
Sebaliknya, katanya, parti itu terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti tempatan bagi membentuk satu blok politik yang mengutamakan kepentingan dan suara Sabah.
Beliau berkata rundingan secara tidak rasmi dengan beberapa parti tempatan, termasuk Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), sudah diadakan.
Namun, katanya, sebarang bentuk kerjasama masih di peringkat perbincangan dan belum mencapai keputusan muktamad.
Sementara itu, perkembangan berhubung keputusan KDM itu turut mendapat perhatian Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, yang menghubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Rusdin Riman, susulan pengumuman berkenaan.
Armizan berkata Rusdin yang juga satu-satunya ADUN KDM memberi jaminan untuk terus menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat di kawasan yang diwakilinya, selain menyokong usaha memastikan kestabilan kerajaan negeri.
Menurutnya, sokongan Rusdin terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor telah diputuskan selepas PRN Sabah pada November tahun lalu.
Perkara itu menjadikan KDM sebahagian daripada kerajaan negeri walaupun parti berkenaan bukan komponen GRS.
“Komitmen beliau adalah untuk terus berkhidmat kepada masyarakat yang diwakili serta memastikan kestabilan kerajaan negeri supaya agenda pembangunan untuk rakyat dapat diteruskan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook, hari ini.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata Rusdin turut menghadiri program bersama ADUN kerajaan negeri di Kota Kinabalu pagi tadi.
Katanya, kehadiran Rusdin dalam program berkenaan menggambarkan komitmen beliau untuk terus bersama-sama menyokong dan menjayakan agenda pembangunan kerajaan negeri demi kepentingan rakyat Sabah.










