SEREMBAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan gabungan itu tidak sesekali mahu dibuai keyakinan menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sebaliknya memilih untuk terus menganggap diri sebagai underdog.
Beliau berkata, meskipun pelbagai ramalan dan analisis politik memberi gambaran positif terhadap peluang BN, semua pemimpin dan jentera parti perlu kekal merendah diri serta bekerja tanpa henti sehingga tamat tempoh berkempen.
“Kita memang melihat diri sebagai underdog dalam keadaan sekarang. Kita tidak mahu menunjukkan seolah-olah terlalu yakin.
“Kita yakin dengan usaha yang sedang dilakukan, tetapi pendekatan sebagai underdog penting supaya tidak ada mana-mana kelompok pengundi yang terlepas pandang, walaupun sekecil mana sekalipun,” katanya.
Menurut Zahid, pendekatan itu turut menjadi peringatan kepada semua pemimpin dan jentera BN supaya berdisiplin sepanjang kempen serta mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap gabungan berkenaan.
Dalam masa sama, beliau sekali lagi merayu pengundi Negeri Sembilan memberi peluang kepada BN untuk kembali menerajui pentadbiran negeri bagi merealisasikan pelbagai tawaran yang terkandung dalam manifesto pilihan raya.
Katanya, antara fokus utama BN ialah mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun, selain memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu memperoleh pekerjaan bergaji premium.
“Saya sendiri akan membantu dari segi penyediaan latihan TVET supaya lebih banyak peluang pekerjaan bergaji premium dapat diwujudkan di Negeri Sembilan.
“Selain itu, lapan menteri BN di peringkat Kerajaan Persekutuan juga bersedia membantu mempercepatkan pembangunan negeri sekiranya rakyat memberikan mandat kepada calon-calon BN,” katanya.
Mengulas ramalan beberapa penganalisis politik yang menjangkakan BN mampu menguasai 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Zahid berkata, gabungan itu tidak mahu terlalu memberi perhatian kepada sebarang unjuran.
Sebaliknya, katanya, BN memilih untuk terus mendekati rakyat kerana kelebihan lazimnya memihak kepada parti yang sedang mentadbir negeri.
“Kita terus bekerja kerana kita adalah underdog. Kelebihan sudah tentu berpihak kepada gabungan yang menjadi kerajaan negeri ketika ini.
“Sebab itu kita terus turun padang dengan penuh rendah diri dan menyantuni rakyat sehingga hari pengundian,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Zahid turut menzahirkan penghargaan kepada pengundi awal yang telah menunaikan tanggungjawab mereka apabila peratusan keluar mengundi melepasi 88 peratus.
Beliau menyifatkan angka itu sebagai petanda positif kepada proses demokrasi negara dan berharap momentum berkenaan dapat diteruskan pada hari pengundian Sabtu ini.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua pengundi awal. Jika kadar keluar mengundi seperti ini dapat dikekalkan pada hari pengundian nanti, ia merupakan satu perkembangan yang amat baik untuk demokrasi negara,” katanya.
Beliau turut menggesa seluruh jentera BN memanfaatkan baki tiga hari tempoh berkempen untuk terus mendekati pengundi, selain merakamkan penghargaan kepada jentera parti dari pelbagai negeri yang turun membantu kempen di Negeri Sembilan.
Sementara itu, ketika diminta mengulas cadangan Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang menamakan Presiden parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai calon Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-16, Zahid hanya memberikan reaksi ringkas.
“Itu satu cerita yang baik dan mungkin satu usaha yang sangat disanjung oleh parti berkenaan. Kita ucapkan selamat berjaya kepada cita-cita besar Datuk Seri Saifuddin Abdullah itu,” katanya.










