Isu Tahanan Rumah Najib Selesai, KDN Sedia Laksana Keputusan Mahkamah – Saifuddin

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah selepas persoalan undang-undang berhubung perintah pengampunan bersyarat itu diperjelaskan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan mahkamah berkenaan menyelesaikan isu perundangan yang sebelum ini dibangkitkan Jabatan Peguam Negara (AGC), sekali gus memberikan kejelasan terhadap pelaksanaan perintah berkenaan.

Beliau berkata, kelewatan pelaksanaan sebelum ini berpunca daripada keperluan mendapatkan kepastian mengenai tafsiran perintah pengampunan bersyarat serta implikasi undang-undang perintah pelepasan bertarikh 6 November 2026.

“Kelewatan pelaksanaan sebelum ini berlaku berikutan terdapat persoalan undang-undang berkaitan tafsiran perintah pengampunan bersyarat dan kesan perundangan perintah pelepasan bertarikh 6 November 2026.

“Keputusan Mahkamah Tinggi hari ini telah menjelaskan persoalan ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Saifuddin, KDN menghormati pendirian AGC yang mengambil pendekatan mendapatkan penjelasan melalui proses kehakiman bagi memastikan setiap tindakan kerajaan mempunyai asas perundangan yang kukuh dan sah.

Beliau turut menegaskan kementeriannya sentiasa menjunjung keputusan pengampunan yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong serta memastikan segala pelaksanaannya mematuhi saluran perlembagaan dan undang-undang.

Katanya, KDN bersama Jabatan Penjara Malaysia bertanggungjawab memastikan pelaksanaan hukuman dan urusan tahanan dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang serta arahan mahkamah yang sah.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi mengetepikan perintah terdahulu yang mengarahkan pelepasan Najib selepas pembayaran denda RM50 juta sebelum mengeluarkan perintah baharu bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.

Hakim, Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan AGC untuk mendapatkan penjelasan berhubung perintah pelepasan bertarikh 6 November yang didakwa mengandungi kesilapan.

Susulan keputusan itu, Najib akan menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Mengulas polemik yang tercetus, Saifuddin berkata semua pihak perlu menangani isu berprofil tinggi itu secara matang dan bertanggungjawab memandangkan ia turut membawa implikasi politik serta mempengaruhi persepsi masyarakat.

Beliau mengingatkan polemik politik tidak seharusnya dibiarkan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.

BBerkaitan

Latest articles