KUALA LUMPUR: Seorang pengguna media sosial mendakwa berdepan situasi janggal apabila pemandu Grab yang dinaikinya meminta bantuan untuk mengisi minyak menggunakan kuota subsidi #BUDI95 milik penumpang.
Perkongsian itu dimuat naik oleh pengguna X (Twitter) dengan nama akaun @mus.tmt, yang menceritakan pemandu berkenaan bertanya sama ada dia mempunyai lesen memandu sebelum meminta menggunakan lesen dan kad pengenalannya untuk menuntut subsidi petrol.
“Kalau kita naik Grab, kemudian pemandu minta tolong isi minyak guna lesen dan IC penumpang, patut ke report @grabmy? Saya cakap tak boleh lah, of course no,” tulisnya dalam hantaran itu.
Menurutnya, dia memberitahu pemandu berkenaan bahawa lesen memandunya telah tamat beberapa bulan lalu, namun individu itu tetap memujuk agar menggunakan kuota #BUDI95 miliknya.
Hantaran tersebut pantas mencuri perhatian netizen yang rata-rata terkejut dengan tindakan pemandu terbabit.
Ramai menyifatkan perbuatan itu tidak beretika kerana kuota subsidi bahan api sepatutnya digunakan oleh pemilik kenderaan yang layak sahaja.
Tidak lama kemudian, pihak Grab Malaysia tampil memberi maklum balas terhadap aduan tersebut dan menegaskan bahawa tindakan berkenaan tidak dibenarkan sama sekali di bawah garis panduan syarikat.
“Kami memandang serius perkara ini dan menggesa pengguna untuk terus melaporkan sebarang insiden seumpama itu kepada kami agar tindakan susulan dapat diambil,” maklum Grab dalam jawapan rasmi mereka di ruang komen.
Inisiatif #BUDI95 diperkenalkan kerajaan bagi menyalurkan subsidi petrol bersasar kepada golongan berpendapatan rendah termasuk pemandu e-hailing dan teksi, namun ia hanya boleh digunakan oleh penerima berdaftar sahaja.










