Kajian Dapati BN Di Landasan Terbaik Menjelang PRN Johor

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) berada pada kedudukan paling kukuh untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berdasarkan unjuran terbaharu Vodus Research, apabila gabungan itu mendahului dari segi sokongan pengundi, unjuran kerusi serta penilaian terhadap kepimpinan kerajaan negeri.

Kajian bertajuk Unjuran Pilihan Raya Negeri Johor 2026 itu menunjukkan BN dijangka meraih 36 peratus undi popular, meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dengan 26 peratus, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh 15 peratus.

Dapatan tersebut diperoleh menerusi kajian melibatkan 1,303 pengundi berdaftar di Johor yang dijalankan antara 15 hingga 29 Jun lalu.

Berdasarkan unjuran kerusi, BN kini mendahului di 20 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), terdiri daripada 17 kerusi yang dikategorikan sebagai selamat dan tiga lagi kerusi marginal.

Sebaliknya, PH hanya berada di hadapan di satu kerusi marginal, manakala PN mendahului di tiga kerusi marginal.

Bagaimanapun, persaingan masih belum memihak sepenuhnya kepada mana-mana gabungan apabila 14 kerusi dijangka menyaksikan saingan sengit antara BN dan PH, selain 17 lagi kerusi masih sukar diramalkan keputusan akhirnya.

Kajian itu turut menunjukkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, terus menikmati penerimaan tertinggi dalam kalangan pemimpin politik negeri apabila mencatat kadar kebolehterimaan sebanyak 58 peratus.

BN juga mengatasi gabungan lain dari segi persepsi positif terhadap parti dengan memperoleh 53 peratus, berbanding PH sebanyak 46 peratus dan PN 44 peratus.

Selain itu, tahap keyakinan rakyat terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri Johor yang diterajui BN turut kekal tinggi apabila mencatat 67 peratus, hampir menyamai tahap kepercayaan terhadap BN sendiri yang direkodkan pada 68 peratus. Kedua-duanya hanya mencatat kadar ketidakpercayaan sebanyak 18 peratus.

Walaupun BN berada dalam kedudukan terbaik, kajian berkenaan mendapati keputusan PRN Johor masih belum muktamad kerana masih terdapat kelompok besar pengundi yang belum benar-benar membuat pilihan.

Sebanyak 87 peratus responden menyatakan mereka berkemungkinan atau sangat berkemungkinan keluar mengundi, namun hanya 69 peratus mengakui sudah benar-benar yakin dengan parti pilihan masing-masing.

Ini bermakna kira-kira 31 peratus pengundi masih berpotensi mengubah pendirian sebelum hari pengundian.

Dalam kalangan penyokong yang sudah menentukan pilihan, penyokong PN mencatat tahap keyakinan tertinggi terhadap parti mereka pada kadar 78 peratus, diikuti BN (74 peratus) dan PH (72 peratus).

Sementara itu, kumpulan responden yang enggan mendedahkan parti pilihan didapati paling cenderung untuk berubah fikiran apabila hanya 37 peratus menganggap keputusan mereka sudah muktamad, manakala baki 63 peratus masih terbuka untuk menukar sokongan.

Bagi pengundi yang masih belum membuat keputusan pula, 85 peratus belum menetapkan gabungan politik yang akan dipilih.

Pengasas Vodus Research, Dr. Kelvin Goh, berkata kedudukan semasa menunjukkan BN memiliki kelebihan yang jelas, namun keputusan akhir masih bergantung kepada pergerakan pengundi atas pagar, khususnya di kerusi-kerusi yang menyaksikan persaingan sengit.

Menurut beliau, perubahan kecil dalam kalangan pengundi yang masih ragu-ragu atau enggan mendedahkan pilihan mereka mampu memberi kesan besar terhadap keputusan serta agihan kerusi.

Dalam perkembangan sama, kajian itu mendapati kos sara hidup terus menjadi isu paling dominan dalam menentukan kecenderungan pengundi.

Seramai 53 peratus responden meletakkan kos sara hidup sebagai antara tiga isu paling penting, manakala 31 peratus menganggapnya sebagai isu utama yang mempengaruhi pilihan mereka.

Vodus Research merumuskan BN memasuki fasa akhir kempen PRN Johor dengan momentum paling kukuh berbanding pencabarnya, namun pertembungan di puluhan kerusi yang masih sengit dijangka menjadi penentu kepada keputusan muktamad pilihan raya.

BBerkaitan

Latest articles