Jualan Keluarga Malaysia Bantu Rakyat Beli Barang Keperluan Dengan Harga Rendah

 

 

KUALA LUMPUR: Selain menawarkan barangan pada harga subsidi, Program Jualan Keluarga Malaysia (JKM) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini, turut berperanan membasmi kegiatan orang tengah.

JKM menawarkan lebih 50 jenis barangan asas harian seperti produk hasil laut dan pertanian, dengan harga antara 15 hingga 20 peratus lebih murah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata penganjuran JKM bermula di Pantai Dalam di sini, sebelum diperluaskan ke 222 kawasan Parlimen adalah strategi jangka pendek dalam menangani peningkatan harga barangan keperluan rakyat.

Katanya, jualan di seluruh negara akan bermula Sabtu ini, dengan kekerapan dua kali sebulan.

Malah, pelbagai produk daripada pengeluar akan dibawa terus ke tapak jualan JKM untuk tanpa kos tambahan daripada faktor orang tengah.

“Bekalan barangan diambil terus dari ladang dan pengeluar tanpa membabitkan orang tengah, justeru barangan dijual lebih murah kepada pengguna dalam jarak 10 kilometer (km) dari tempat jualan.

“Dalam keadaan sukar pada ketika ini, kementerian memahami rakyat memerlukan barangan pada harga mampu dimiliki dan tiada yang kelaparan di rumah.

“Kami harap inisiatif bersama ini memanfaatkan pengguna, terutama golongan B40,” katanya memetik laporan BH.

Dalam membantu ramai rakyat yang terkesan, KPDNHEP di setiap negeri juga diarahkan untuk mengenal pasti lokasi yang bersesuaian untuk pelaksanaan program JKM.

Kekerapan program JKM juga akan ditambah dari semasa ke semasa dengan lebih banyak lokasi sehingga harga barangan keperluan asas kembali stabil.

“Kita faham ada kekangan tertentu dari segi logistik dan akses untuk orang ramai ke tapak JKM, khususnya penduduk di kawasan pedalaman.

“Oleh itu, pendekatan lain yang digunakan demi memastikan kesan JKM mampu sampai ke golongan sasar, khususnya B40 ialah menerusi kaedah jualan bergerak menggunakan trak dan lori.

“Jika penduduk di pedalaman tidak dapat atau berdepan kekangan ke tapak JKM, kami akan bawa barangan keperluan yang dijual pada harga lebih rendah sehingga ke kawasan rumah mereka.

“Perkara ini penting kerana kita mahu pastikan kesan daripada penganjuran JKM adalah menyeluruh, bukan sekadar memberi manfaat kepada penduduk di bandar atau pinggir bandar,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles