PH Bermesyuarat Petang Ini, Kedudukan BN Dalam Kerajaan Perpaduan Jadi Perhatian

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) dijadual mengadakan mesyuarat Majlis Presidennya petang ini, ketika hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan kembali menjadi perhatian susulan beberapa kenyataan politik terbaru.

Mesyuarat itu dijangka dipengerusikan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, pada jam 5.30 petang.

Antara perkara utama yang dijangka dibincangkan ialah kedudukan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan, terutama selepas pendirian tegas Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 baru-baru ini.

Dalam ucapan penggulungannya, Ahmad Zahid mencabar mana-mana pihak yang mahu UMNO dan BN keluar daripada kerajaan supaya mengemukakan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat atau membubarkan Parlimen bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Perkembangan itu sebelum ini mendapat perhatian serius DAP apabila Setiausaha Agungnya, Anthony Loke, mencadangkan supaya Anwar segera memanggil Majlis Presiden PH untuk meneliti perkembangan politik semasa.

Loke pada 14 September lalu berkata beberapa kenyataan politik kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan terhadap kepastian dan kestabilan politik negara, selain berpotensi memberi kesan kepada keyakinan pelabur dan rakyat.

Beliau turut berpandangan bahawa Perdana Menteri perlu memperjelaskan kedudukan kerajaan kepada semua parti komponen bagi memastikan hala tuju Kerajaan Perpaduan kekal jelas.

Mesyuarat PH petang ini dijangka menjadi medan penting untuk kepimpinan gabungan itu meneliti perkembangan berkenaan serta menentukan pendirian bersama terhadap isu yang menyentuh hubungan antara komponen Kerajaan Perpaduan.

BBerkaitan

Latest articles