Pengampunan Najib: Standard Keadilan Jangan Berubah Mengikut Nama – Dr Mahathir

​KUALA LUMPUR: Keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta, meletakkan prinsip keadilan negara pada satu titik uji yang penting.

​Menurut Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga bekas Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Dr Mahathir Mohd Rais, keluarga Najib dan pihak UMNO semestinya berasa lega, namun menegaskan bahawa tidak perlu berpura-pura menafikan nilai politik isu tersebut yang sudah bertahun-tahun hidup dalam parti.

​”Tidak perlu berpura-pura bahawa isu Najib sudah hilang nilai politiknya dalam UMNO. Sudah bertahun-tahun perkara ini hidup dalam parti, dibawa dalam ucapan, mesyuarat dan perhimpunan, malah menjadi antara isu yang masih mampu menyatukan sebahagian besar penyokongnya.

“Jadi tahniah kepada mereka yang selama ini memperjuangkannya. Hari ini mereka sudah mendapat sebahagian daripada apa yang mereka minta,” ujarnya dalam kenyataan pada Jumaat.

​Bagaimanapun, beliau membangkitkan persoalan menarik mengenai pendirian pihak yang selama ini paling lantang bercakap tentang kedaulatan undang-undang, penghormatan kepada institusi, kebebasan badan kehakiman dan bahaya campur tangan politik.

Menurutnya, jika mahu mendakwa wujud campur tangan, bukti yang kukuh harus dikemukakan kerana kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 serta Lembaga Pengampunan sudah lama wujud dalam perlembagaan negara.

​”Kalau mahu mengatakan ada campur tangan politik, tunjukkan di mana campur tangannya. Kuasa pengampunan bukan diwujudkan hari ini khusus untuk Najib Razak.

“Perkara 42 sudah lama wujud dan Lembaga Pengampunan juga bukan institusi yang muncul selepas makan tengah hari semata-mata kerana seorang bekas perdana menteri membuat permohonan,” jelas beliau.

​Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan penyokong Najib agar tidak terlalu gembira sehingga mahu menulis semula sejarah kerana pengampunan bersyarat tidak bermaksud Mahkamah Persekutuan mengubah keputusannya. Sabitan dalam kes SRC International tetap kekal sebagai rekod kehakiman yang sah.

​”Najib tetap pernah disabitkan dalam kes SRC International dan sabitan tujuh pertuduhan terhadapnya dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2022. Pengampunan mengubah cara baki hukuman dijalani, bukannya memadam keputusan mahkamah yang telah dibuat.

“Kalau hari ini mahu orang lain menghormati keputusan Lembaga Pengampunan, rekod mahkamah juga perlu dihormati,” tegasnya.

​Beliau menambah bahawa Najib boleh menjadi seorang bekas perdana menteri yang pernah membawa dasar serta pembangunan yang dihargai rakyat, dan pada masa yang sama menjadi individu yang disabitkan kesalahan oleh mahkamah, di mana kedua-dua realiti itu boleh wujud serentak.

Katanya, kecenderungan politik Malaysia yang sering melihat sesuatu secara hitam atau putih turut diuji melalui keputusan kontroversi ini.

​Menyentuh aspek perundangan semasa, ujarnya, masalah mahkamah bekas pemimpin itu belum selesai sepenuhnya kerana kes 1MDB yang berasingan masih berada di peringkat rayuan.

“Bagi rakyat kebanyakan pula, keputusan tersebut tidak mengubah realiti kos sara hidup harian seperti harga barang, gaji, sewa rumah atau ansuran kereta, namun cara negara menguruskan isu ini tetap memberi kesan kepada keyakinan awam terhadap keadilan institusi.

​”Kalau hari ini kita mahu keputusan institusi dihormati, kita juga perlu bersedia menghormatinya apabila keputusan seterusnya tidak menyebelahi kita.

“Kalau hari ini kita bercakap tentang belas ihsan, jangan lupa bercakap tentang keadilan. Kalau hari ini kita bercakap tentang keadilan, jangan pula berpura-pura bahawa kuasa pengampunan tidak pernah wujud,” ulas beliau.

​Beliau menegaskan bahawa segala perkembangan yang berlaku adalah realiti undang-undang, manakala selebihnya adalah soal sama ada prinsip yang dilaungkan selama ini benar-benar satu pegangan utuh atau sekadar retorik mengikut selera politik masing-masing.

BBerkaitan

Latest articles