JASIN: Urusan jual beli perisa rokok elektronik (vape) dipercayai berperisa “mushroom” berakhir tragedi apabila seorang lelaki maut selepas ditikam dalam pergaduhan di sebuah taman permainan di Taman Muhibbah, Merlimau, malam Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa berusia 30 tahun mengalami tikaman di bahagian belakang kanan badan sehingga menembusi paru-paru kanan, selain mengalami kecederaan serta pendarahan di kepala.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka pada jam 1.26 tengah hari semalam.
Menurut beliau, seorang lagi mangsa berusia 26 tahun turut cedera dengan luka hirisan pada tangan dan rusuk kanan selain mengalami calar di muka.
“Polis menerima laporan berkaitan kejadian itu pada malam sama sebelum berjaya menahan empat lelaki berusia antara 20 hingga 35 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Siasatan awal mendapati insiden berkenaan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham ketika urusan jual beli vape terbabit sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan suspek.
Difahamkan, pergaduhan mula tercetus selepas salah seorang mangsa menegur suspek dan mengeluarkan kata-kata kesat.
“Suspek kemudian mengejar kedua-dua mangsa sebelum menyerang mereka menggunakan pisau, manakala dua lagi suspek dipercayai turut memukul mangsa dengan tangan,” katanya.
Kedua-dua mangsa bagaimanapun sempat melarikan diri menaiki kereta untuk mendapatkan rawatan awal di Klinik Kesihatan Merlimau sebelum dirujuk ke Hospital Melaka.
Dalam perkembangan sama, polis turut merampas beberapa barangan termasuk pakaian, telefon bimbit, sepasang selipar serta sebilah pisau patah yang dipercayai mempunyai kesan darah.
Semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik, manakala ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada mereka positif methamphetamine.
Bedah siasat ke atas mangsa dijadual dijalankan di Hospital Melaka bagi mengenal pasti punca sebenar kematian, sementara kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.










