Jenazah Amir Dikebumi Di Melaka, Keluarga Angkat Masih Mengharap

Jenazah Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, kanak-kanak berusia 7 tahun yang disyaki didera oleh ibu kandung dan bapa tiri akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh, Jasin hari ini.

Memetik laporan MalaysiaGazette, sehingga jam 10 pagi tadi, keluarga angkat arwah masih lagi menaruh harapan untuk mengebumikan jenazah Amir di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.

Namun keluarga arwah menolak dan mahu mengebumikan jenazah Amir di Simpang Bekoh, Melaka yang merupakan kampung kanak-kanak itu.

Malah kehadiran media untuk bertemu nenek Amir seawal 8 pagi tidak berjaya apabila mereka tidak dibenarkan masuk ke kawasan perumahan tersebut.

Sementara itu ibu angkat Amir, Norlida Abu Hassab yang ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka di sini hari ini dengan memegang bantal milik Amir kelihatan sugul.

Semalam, suami Norlida, Md Tarmidi Yaaccob berkata, keluarganya masih berbincang dengan keluarga arwah untuk membawa jenazah bagi dikebumikan di Rawang.

Katanya, dia ada berjumpa ibu kandung arwah serta keluarganya yang lain untuk membincangkan hal itu namun belum ada keputusan.

“Kami merayu kepada mereka supaya benarkan jenazah dikebumikan di Rawang. Pada dasarnya mereka tidak bersetuju, namun kami tidak putus harapan untuk terus merayu selain meminta kerjasama polis.

“Walaupun keluarga kandung mempunyai hak tetapi atas rasa simpati dan prihatin kepada kami yang menjaganya sejak kecil, izinkanlah kami mengebumikan jenazah di tempat kami,” katanya.

Media pada dua hari lalu melaporkan seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya di rumah di Taman Krubong Jaya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Jumaat itu, pihak polis menerima panggilan daripada bapa tiri mangsa berusia 38 tahun yang memaklumkan anaknya lemas dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter di rumah berkenaan.

Siasatan polis mendapati hasil pemeriksaan fizikal terhadap mayat mangsa menemui kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan.

BBerkaitan

Latest articles