JCorp, CVC Dilapor Intai Penjualan KFC, Pizza Hut Pada Harga RM4 Bilion

KUALA LUMPUR: Johor Corporation (JCorp) dan firma ekuiti swasta CVC Capital Partners dilaporkan sedang meneroka penjualan kepentingan mereka dalam rangkaian restoran makanan segera KFC dan Pizza Hut di Malaysia, dengan nilai yang diminta dianggarkan sekitar RM4 bilion.

Menurut laporan The Edge Malaysia pada 2 November, kedua-dua pihak sedang mencari pembeli, khususnya pelabur asing dari rantau Asia Barat, susulan persaingan sengit serta peningkatan kos operasi dalam sektor makanan dan minuman (F&B).

Laporan itu memetik sumber yang mengetahui perkara berkenaan sebagai berkata, bank pelaburan antarabangsa Citi mengendalikan proses pencarian pembeli, manakala beberapa pelabur berpotensi sudah menyatakan minat untuk mengambil alih perniagaan berkenaan.

Bagaimanapun, seorang daripada bakal pembeli dilaporkan menarik diri kerana menganggap harga yang diminta terlalu tinggi.

JCorp, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan CVC merupakan pemegang kepentingan dalam perniagaan berkenaan menerusi Massive Equity Sdn Bhd, yang memiliki sepenuhnya QSR Brands (M) Holdings Bhd, pengendali rangkaian KFC dan Pizza Hut.

JCorp memegang 55.63 peratus kepentingan dalam Massive Equity, manakala 44.19 peratus lagi dimiliki Melati Asia Holdings Ltd, yang merupakan syarikat usaha sama KWSP (51 peratus) dan CVC (49 peratus).

Menurut laporan itu, QSR Brands mengendalikan lebih 800 restoran KFC di Malaysia, Singapura, Brunei dan Kemboja, selain lebih 500 restoran Pizza Hut di Malaysia dan Singapura.

Mengulas perkara berkenaan, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Korporat Kumpulan JCorp, Hasnina Hafiz berkata, QSR Brands kekal sebagai sebahagian penting dalam portfolio pelaburan syarikat itu.

Beliau berkata, JCorp mengambil pendekatan berdisiplin dalam menilai peluang pelaburan bagi mewujudkan nilai jangka panjang yang mampan kepada pemegang taruh.

“Prestasi QSR Brands yang semakin baik mencerminkan kemajuan dalam meningkatkan kecekapan operasi dan daya saing.

“Sebarang perkembangan penting akan dimaklumkan melalui saluran sewajarnya pada masa yang sesuai,” katanya kepada The Edge.

Sementara itu, CVC enggan mengulas mengenai perkara berkenaan.

Laporan itu turut menyebut KFC dan Pizza Hut antara jenama makanan segera yang terkesan dengan kempen boikot pengguna susulan konflik Israel-Palestin yang tercetus pada Oktober 2023, selain berdepan tekanan peningkatan kos operasi.

Bagaimanapun, prestasi QSR Brands menunjukkan pemulihan apabila mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 19 peratus kepada RM3.85 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berbanding RM3.23 bilion pada 2024.

JCorp sebelum ini memaklumkan QSR Brands kembali mencatatkan keuntungan pada 2025 hasil langkah meningkatkan kecekapan operasi, mengoptimumkan portfolio perniagaan, memperbaiki pengalaman pelanggan serta mengawal kos dengan lebih berdisiplin.

Bagaimanapun, jumlah keuntungan yang dicatatkan syarikat itu tidak didedahkan.

Menurut data kewangan yang dipetik The Edge, QSR Brands merekodkan hasil RM4.81 bilion pada 2022 sebelum meningkat kepada RM4.87 bilion pada 2023, namun merosot kepada RM3.23 bilion pada 2024.

Syarikat itu turut mencatatkan kerugian sebelum cukai RM66.2 juta pada 2023, sebelum meningkat kepada RM332.67 juta pada 2024.

The Edge melaporkan bahawa JCorp bersama KWSP dan CVC mengambil alih QSR Brands serta anak syarikatnya, KFC Holdings (M) Bhd dalam urus niaga bernilai RM5.2 bilion pada 2012 yang diselesaikan pada Februari 2013.

BBerkaitan

Latest articles