Jangkitan COVID-19 Masih Terkawal, Tiada Varian Baru

KUALA LUMPUR: Keadaan semasa Covid-19 di Malaysia secara keseluruhannya masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada meskipun terdapat peningkatan kes, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, terdapat peningkatan kes Covid-19 dilaporkan secara global dan peningkatan di Malaysia seiring dengan trend yang berlaku pada setiap hujung tahun seperti juga dilaporkan di negara lain.

“Kebanyakan kes COVID-19 di Malaysia menunjukkan gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini mengenai situasi COVID-19 negara.

Dr Zaliha berkata, sehingga kini tiada varian baharu yang dikesan di Malaysia.

“Varian yang masih menular di Malaysia adalah varian Omicron dengan subvarian diketahui mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi, tetapi tidak menyebabkan kes yang teruk.

“Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan langkah penjagaan kendiri antaranya mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dan memakai pelitup muka bagi yang bergejala.

“Jumpa dengan doktor sekiranya gejala bertambah teruk dan mendapatkan rawatan antiviral Paxlovid di Klinik Kesihatan terdekat bagi individu positif Covid-19 dan berisiko tinggi. Orang ramai juga boleh mendapatkan dos primer vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan.

“Mereka juga diminta untuk tidak menyebarkan berita yang tidak benar bagi mengelakkan kekeliruan dan menimbulkan keresahan awam,” katanya.

Pada Ahad lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata sebanyak 3,626 kes Covid-19 dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-47 (ME 47/2023) iaitu dari 19 hingga 25 Nov lepas, meningkat 57.3 peratus berbanding 2,305 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata majoriti kes iaitu 48 peratus melibatkan mereka yang berumur antara 20 dan 40 tahun, dengan lebih 98 peratus hanya bergejala ringan. – BERNAMA

KOMEN

BERKAITAN

POPULAR

Media Sosial

29,272FansLike
0MembersFollow
48,300FollowersFollow
0FollowersFollow
9,238FollowersFollow
10,400SubscribersSubscribe

Terkini