​’Jangan Gentar Mengaku Kesilapan, PKR Perlu Berani Laksana Reformasi’ – Aminuddin

​AYER KEROH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu bersedia beralih daripada fasa kestabilan politik kepada fasa keberanian untuk melaksanakan agenda reformasi secara nyata dan berimpak kepada rakyat.

​Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan, rakyat kini tidak mahu lagi mendengar pelbagai alasan sebaliknya mahu melihat tindakan serta hasil perubahan yang dirasai secara langsung.

Menurut beliau, kestabilan kerajaan gabungan yang dicapai ketika ini bukanlah destinasi akhir, sebaliknya sekadar tapak untuk melakukan penambahbaikan dan pembaharuan pentadbiran.

“Rakyat mahu melihat reformasi yang bukan sekadar disebut dalam manifesto atau ceramah, tetapi benar-benar dilaksanakan dalam kehidupan seharian. Kita telah mencapai kestabilan politik, maka sekarang rakyat mahu melihat apa yang kita lakukan dengan kestabilan tersebut.

“Kita tidak boleh menggunakan alasan mentadbir bersama kerajaan gabungan yang mempunyai latar belakang politik berbeza sebagai alasan untuk tidak bertindak,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Ayer Keroh, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan turut menyentuh mengenai keputusan pilihan raya lalu di negeri itu dengan sikap terbuka.

Beliau menegaskan tidak mahu meletakkan kesalahan kepada rakyat atau menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya bersedia bertanggungjawab penuh atas kekurangan yang berlaku.

“Adakah segala keputusan dan strategi yang kita lakukan itu sempurna? Tidak. Adakah terdapat kelemahan dalam kepimpinan? Ya, saya mengakuinya dan mohon maaf.

“Jawatan ini bukan milik saya tetapi amanah parti. Jika parti merasakan ada keputusan perlu dibuat demi masa depan Keadilan, saya sedia menerima dengan dada terbuka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan dapatan program latihan parti sejak awal tahun ini yang mendapati lebih 50 peratus ahli masih belum menguasai sejarah perjuangan parti dan kronologi kes mahkamah Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, beliau menggesa sistem latihan dan budaya membaca ditingkatkan supaya ahli mampu mempertahankan parti serta menjawab sebarang fitnah menggunakan fakta, dokumen dan ilmu.

“Tugas kita bukan sekadar marah kepada mereka yang melemparkan fitnah, tetapi mendidik masyarakat. Kita perlu menjawab fitnah dengan fakta dan sejarah, bukan sekadar emosi,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles