KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil serius dakwaan konsert The Weeknd di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 dan 5 November lalu mengandungi elemen yang bercanggah dengan akidah Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata Bahagian Penyelidikan Jakim sedang menjalankan siasatan dengan mendapatkan pengesahan daripada urus setia Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).
Beliau menegaskan, sebarang tindakan akan diambil secara tegas berdasarkan peruntukan undang-undang serta fakta yang sahih bagi memastikan persembahan artis tempatan dan antarabangsa tidak melanggar sensitiviti agama, budaya mahupun mengganggu ketenteraman awam.
“Tindakan tegas berlandaskan undang-undang dan fakta sahih akan diambil bagi memastikan persembahan artis dalam dan luar negara sentiasa memelihara sensitiviti agama, budaya serta ketenteraman awam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Zulkifli turut mengingatkan bahawa Islam melarang sebarang bentuk pemujaan selain Allah, justeru setiap penganjuran persembahan seni perlu memastikan elemen yang dipaparkan tidak mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, khususnya berkaitan akidah dan akhlak.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian PAS yang semalam mempersoalkan penggunaan patung emas gergasi serta beberapa elemen persembahan dalam konsert itu yang didakwa menyerupai ritual pemujaan.
Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Pemuda PAS, Mohamed Sukri Omar, menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan unsur pemujaan dinormalisasikan dalam masyarakat melalui medium hiburan.
Beliau mendakwa konsep persembahan berkenaan diinspirasikan daripada sebuah karya fiksyen yang menggambarkan tamadun mengangkat mesin sebagai tuhan, dengan tema keagungan, kehancuran dan kelahiran semula.
Dakwaan itu mencetuskan persoalan mengenai sejauh mana elemen persembahan artis antarabangsa perlu diteliti bagi memastikan ia tidak bertentangan dengan nilai agama serta sensitiviti masyarakat tempatan.










