JAKIM Siasat Dakwaan Kesilapan Ayat al-Quran Dalam Buku ‘Wanita Syurga’

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan terdapat kesilapan penulisan ayat al-Quran dalam buku bertajuk Wanita Syurga yang mencetuskan perhatian ramai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, kerajaan memandang serius perkara itu dan tidak mahu insiden seumpama berulang pada masa hadapan.

Menurut beliau, usaha menubuhkan Majlis Penerbitan Buku Agama Malaysia yang sedang digerakkan dijangka dapat memperkukuhkan proses semakan kandungan sebelum sesebuah karya agama diterbitkan.

“Kita menggalakkan penerbitan lebih banyak karya berkaitan agama, namun setiap kandungan perlu dipastikan tepat dan sahih sebelum diedarkan kepada masyarakat.

“Saya dimaklumkan penulis telah membuat permohonan maaf secara terbuka, namun kita mahu memastikan kesilapan seperti ini tidak berulang lagi,” katanya selepas menghadiri Konvensyen Kebangsaan Profesion Peguam Syarie 2026 di Putrajaya, semalam.

Sebelum ini, personaliti media sosial, Aisyah Hijanah, tampil memohon maaf susulan kontroversi berkenaan selain mengumumkan penarikan semula jualan buku tersebut.

Dalam perkembangan sama, Zulkifli berkata, peruntukan sebanyak RM1.5 juta kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia diharap dapat membantu meningkatkan akses golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan khidmat guaman di Mahkamah Syariah.

Beliau berkata, individu yang berdepan kekangan kewangan boleh mendapatkan bantuan dan representasi melalui persatuan itu bagi mengendalikan kes masing-masing.

Tambahnya, Mahkamah Syariah juga terus memperkenalkan pelbagai pembaharuan termasuk pelaksanaan sistem laluan pantas (fast track) yang berjaya menyelesaikan ribuan kes dalam tempoh singkat.

Menurut beliau, inisiatif itu merekodkan kadar penyelesaian kes sehingga 97 peratus, selain usaha pendigitalan menerusi pelaksanaan sistem e-Syariah versi 3 yang membolehkan proses e-filing dan pendaftaran kes dilakukan tanpa perlu hadir ke kaunter mahkamah.

BBerkaitan

Latest articles