PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun terhadap Rosmaini Abdul Raof selepas didapati bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isterinya, Jahidah Nordin @ Sylvester, lima tahun lalu.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim yang sebulat suara menolak rayuan tertuduh berusia 43 tahun itu terhadap sabitan dan hukuman terdahulu.
Mahkamah turut mengarahkan Rosmaini membayar ganti rugi RM25,000 kepada mangsa atau berdepan tambahan enam bulan penjara jika gagal berbuat demikian.
Kes berkenaan sebelum ini menyaksikan Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman penjara 10 tahun yang diputuskan Mahkamah Sesyen, namun pelaksanaannya ditangguhkan sementara menunggu rayuan.
Rosmaini bagaimanapun telah menjalani hukuman selama 79 hari selepas sabitan awal.
Mengikut pertuduhan, kejadian berlaku pada 4 Mei 2021 di sebuah pangsapuri di Kampung Aman, Larkin, Johor Bahru, apabila tertuduh didakwa memukul serta menendang mangsa yang ketika itu hamil 10 minggu sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Kes didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A, yang membolehkan hukuman lebih berat dikenakan.










