KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof mempersoalkan sejauh mana Malaysia perlu terus memikul beban menguruskan pelarian Rohingya secara bersendirian, sedangkan negara ini bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951.
Ketika membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2024 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata Malaysia telah lama memainkan peranan atas dasar kemanusiaan dengan menempatkan kira-kira 215,000 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Menurutnya, daripada jumlah itu, sekitar 126,000 merupakan etnik Rohingya, manakala 64,700 atau hampir 46 peratus terdiri daripada kanak-kanak berusia bawah 18 tahun.
Bagaimanapun, Azli mempersoalkan mengapa negara-negara maju yang sering memperjuangkan hak asasi manusia tidak menerima lebih ramai pelarian, selain mengkritik kegagalan negara-negara ASEAN mencapai penyelesaian menyeluruh terhadap krisis di Myanmar.
Beliau menegaskan isu pelarian tidak boleh dinilai hanya daripada perspektif kemanusiaan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira aspek keselamatan dan kedaulatan negara.
“Malaysia tidak boleh menjadi negara yang menutup pintu hati, tetapi pada masa sama kita juga tidak boleh membuka pintu sempadan tanpa kawalan. Keseimbangan inilah yang perlu dipertahankan,” katanya.
Azli berkata kerajaan perlu bertindak tegas dalam menangani isu kemasukan pendatang tanpa dokumen, eksploitasi buruh, penyeludupan manusia serta kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat tempatan.
Dalam masa sama, beliau memuji langkah kerajaan mewujudkan Pusat Penempatan Khas Pelarian dan Pemohon Suaka (PPKPPS) di Bidor, Perak sebagai projek perintis bagi memperkemaskan pengurusan pelarian.
Menurutnya, pendekatan penempatan secara berpusat itu lebih sistematik berbanding penempatan berselerak yang boleh mencetuskan konflik dengan penduduk setempat.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menjelaskan perkembangan pelaksanaan PPKPPS serta sama ada cadangan penubuhannya telah dibawa ke Kabinet untuk dimuktamadkan.
Terdahulu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, mencelah dengan bertanyakan sama ada terdapat negara yang boleh dijadikan model dalam menguruskan pelarian Rohingya memandangkan mereka sukar dihantar pulang ke negara asal.
Menjawab perkara itu, Azli berkata kebanyakan negara ASEAN menerima pelarian Rohingya atas faktor kemanusiaan sebelum mereka didaftarkan oleh UNHCR dan seterusnya ditempatkan semula ke negara ketiga yang bersedia menerima mereka.
Beliau menegaskan Malaysia perlu terus mengekalkan keseimbangan antara nilai kemanusiaan dan kepentingan kedaulatan negara.
“Kemanusiaan tanpa kedaulatan akan mengundang kekacauan, manakala kedaulatan tanpa kemanusiaan pula menghilangkan nilai sebuah negara bertamadun. Malaysia tidak boleh menjadi tempat yang membiarkan manusia mati, tetapi pada masa sama tidak boleh membiarkan undang-undang mati,” katanya.










