KUALA LUMPUR, kemelut yang melibatkan isu kuasa, punca kuasa dan bidang kuasa dalam pentadbiran Negeri Sembilan perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan krisis legitimasi yang berpanjangan.
Datuk Hasnal Rezua Merican berpandangan, kegagalan merungkai isu tersebut secara tuntas boleh menimbulkan persoalan terhadap kesahihan setiap tindakan yang diambil selepas itu, termasuk keputusan berkaitan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Apabila timbul pertikaian mengenai kuasa dan bidang kuasa, ia mesti diselesaikan segera. Jika tidak, semua tindakan selepas itu akan dipersoalkan sama ada sah atau tidak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Penerangan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), hari ini.
Hasnal Rezua yang juga pengamal undang-undang berkata, situasi semasa telah menimbulkan ketidaktentuan dalam perjalanan sidang DUN, termasuk sama ada persidangan boleh diteruskan, rang undang-undang dibentangkan atau sebaliknya.
Menurut beliau, keadaan itu berpunca daripada persoalan asas berkaitan legitimasi yang masih belum diputuskan secara muktamad.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa keadaan kebuntuan tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri.
Mengulas mengenai kemungkinan kerajaan minoriti, Hasnal Rezua berkata situasi tersebut boleh berlaku dalam sistem demokrasi matang, namun ia memerlukan pendekatan yang amat berhati-hati.
“Kerajaan minoriti sentiasa terdedah kepada cabaran mendapatkan sokongan majoriti dalam Dewan. Jika gagal, kerajaan boleh tumbang dan ini akan menjejaskan keupayaan untuk meluluskan dasar,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan aspek legitimasi dalam situasi pertukaran kuasa, khususnya berkaitan pihak yang mempunyai kuasa untuk melantik Menteri Besar sekiranya kedudukan institusi berkaitan masih dipertikaikan.
Justeru, beliau menegaskan bahawa penyelesaian terhadap isu legitimasi perlu diberi keutamaan sama ada melalui perbincangan dalam Dewan Adat Negeri Sembilan atau melalui rujukan ke Mahkamah Persekutuan.
“Tanpa penyelesaian yang jelas, krisis ini akan terus berlarutan dan menjejaskan kestabilan politik serta pentadbiran negeri,” katanya.
Petang tadi, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan beliau kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan meskipun 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadapnya, hari ini.
Ketika sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar hari ini, beliau berkata tanggungjawab itu akan terus dipikul selaras dengan titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, yang menitahkan beliau terus mentadbir kerajaan negeri.










