PUTRAJAYA: Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) memulakan siasatan berhubung dakwaan salah laku berkaitan kematian Allahyarham Noorizwan Zulkefly ketika berada dalam tahanan atau jagaan polis.
IPCC dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan itu dimulakan susulan rujukan kes oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), seperti yang dinyatakan dalam kenyataan bertarikh 24 Okt lepas.
Suruhanjaya itu turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta memahami keprihatinan keluarga dan masyarakat berhubung kejadian berkenaan.
Menurut IPCC, siasatan dilaksanakan selaras dengan mandat dan tatacara di bawah Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 (Akta 839).
“Seksyen 26 Akta 839 memperuntukkan kewajipan PDRM untuk merujuk kejadian tertentu kepada IPCC, termasuk kematian seseorang semasa berada dalam tahanan atau jagaan polis,” menurut kenyataan itu.
IPCC memaklumkan siasatan akan meneliti fakta, dokumen, keterangan dan keadaan berkaitan kejadian berkenaan bagi memastikan perkara itu disiasat secara bebas, saksama dan berasaskan bukti yang diperoleh serta disahkan melalui proses sewajarnya.
Dapatan siasatan akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Pada masa sama, IPCC menegaskan bahawa rujukan kes dan pelaksanaan siasatan itu tidak boleh ditafsirkan sebagai kesimpulan awal bahawa berlaku salah laku oleh mana-mana pihak.
Sebarang penilaian, dapatan atau syor, menurut suruhanjaya itu, hanya akan dibuat berdasarkan hasil siasatan serta peruntukan undang-undang berkaitan.
IPCC turut memberi jaminan akan melaksanakan tanggungjawab pemantauan bebas secara telus, berintegriti dan profesional, selain memastikan hak serta kepentingan semua pihak yang terlibat dihormati.
Sebarang perkembangan yang sesuai untuk dimaklumkan kepada orang ramai akan disampaikan menerusi saluran rasmi IPCC, tertakluk kepada keperluan menjaga kerahsiaan dan integriti proses siasatan.










