KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang menggubal atau memperkenalkan undang-undang baharu seperti Akta Keharmonian Nasional atau Akta Perpaduan Negara bagi menangani isu sensitif membabitkan agama, kaum dan institusi Raja-Raja (3R).
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, keputusan itu dibuat kerana negara sudah mempunyai kerangka perundangan sedia ada yang boleh digunakan untuk menangani kesalahan berkaitan isu berkenaan.
Menurutnya, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memperkukuh pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang sedia ada selain meningkatkan keberkesanan mekanisme pencegahan, pemantauan serta pengurusan isu perpaduan.
“Kerajaan pada masa ini tidak bercadang untuk menggubal atau memperkenalkan undang-undang baharu seperti Akta Keharmonian Nasional atau Akta Perpaduan Negara bagi menangani isu sensitif berkaitan agama, kaum dan institusi Raja-Raja (3R),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Datuk Ewon Benedick (Penampang) di Dewan Rakyat pada Khamis.
Ewon menerusi soalannya meminta Menteri Perpaduan Negara menjelaskan bilakah Akta Keharmonian Nasional atau akta baharu bagi menangani isu 3R akan dibentangkan di Parlimen serta cabaran yang menyebabkan undang-undang berkenaan belum diperkenalkan.
Aaron berkata, antara peruntukan undang-undang sedia ada yang boleh digunakan termasuk Seksyen 295, 296, 298 dan 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 504, 505 dan 506 kanun sama.
Selain itu, peruntukan lain termasuk Subseksyen 8A(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan cabaran menangani isu 3R bukan hanya tertumpu kepada aspek perundangan dan penguatkuasaan, sebaliknya turut melibatkan keupayaan mengesan isu pada peringkat awal serta mencegah ketegangan daripada merebak.
“Cabaran menangani isu 3R bukan hanya terletak pada aspek perundangan dan penguatkuasaan, tetapi turut melibatkan keupayaan mengesan isu pada peringkat awal, mencegah ketegangan daripada merebak serta menyelesaikan pertikaian secara aman sebelum menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Aaron berkata, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) terus memperkukuh pendekatan pencegahan, intervensi, mediasi dan pendidikan masyarakat dalam mengurus isu perpaduan.
Katanya, antara mekanisme yang digunakan termasuk Sistem Pemantauan Isu Perpaduan (e-Sepakat), Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN) dan Pusat Rujukan Isu Sensitif Masyarakat (PRISMA).
Turut diperkukuh ialah Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP), Mediator Komuniti serta 11 Pusat Mediasi Komuniti bagi membantu menyelesaikan konflik secara aman di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, mekanisme berkenaan saling melengkapi dalam memastikan pengurusan isu perpaduan lebih responsif dan terselaras, manakala isu yang mempunyai unsur kesalahan undang-undang akan dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut.










