ALOR GAJAH: Tindakan dipercayai akibat tidak tahan menjadi mangsa buli membawa kepada insiden cemas apabila seorang pelajar Tingkatan Satu bertindak mengejar tiga pelajar lain menggunakan pisau pemotong kertas di sebuah sekolah menengah di daerah ini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 petang itu, pelajar terbabit dikatakan hilang kawalan selepas dua pelajar lelaki berusia 13 dan 14 tahun berulang kali membaling ais ke arahnya ketika sesi kokurikulum sempena program penghargaan kehadiran pelajar di dewan terbuka sekolah berkenaan.
Ketua Polis Alor Gajah, Ahmad Abu Bakar berkata, suspek kemudian mengeluarkan pisau pemotong kertas yang disimpan di dalam bekas pensil sebelum mengejar salah seorang mangsa sejauh kira-kira 50 meter sehingga ke kawasan surau sekolah.
Menurutnya, dua lagi pelajar yang berada bersama mangsa turut melarikan diri kerana bimbang menjadi sasaran suspek, manakala keseluruhan kejadian itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sekolah.
Beliau berkata, keadaan bagaimanapun berjaya dikawal apabila seorang guru bertindak pantas memujuk pelajar berkenaan supaya menyerahkan pisau yang dipegangnya, sekali gus mengelakkan kejadian lebih buruk daripada berlaku.
“Tiada pelajar mahupun guru yang mengalami kecederaan. Selepas insiden itu, keluarga pelajar terbabit dipanggil ke sekolah sebelum membawanya pulang,” katanya.
Hasil siasatan turut mendapati pelajar berkenaan sedang menjalani rawatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Melaka, dengan sesi rawatan terakhir direkodkan pada 3 Jun lalu. Pihak sekolah juga dimaklumkan mengenai keadaan kesihatan pelajar terbabit.
Ahmad berkata, siasatan lanjut turut mendapati semua pelajar yang terlibat dalam kejadian itu mempunyai rekod salah laku disiplin sejak awal sesi persekolahan tahun ini.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.










