KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa pemenjaraan Datuk Seri Najib Razak tetap tidak mampu membersihkan UMNO daripada budaya rasuah yang dikaitkan dengan beberaoa pemimpin parti itu.
“Pemenjaraan Najib tidak membersihkan UMNO. Budaya UMNO bukan budaya parti di waktu ia ditubuh. Ini bukan parti UMNO lagi.
“Sebab itu UMNO perlu dikalahkan dan diganti dengan parti Melayu yang memegang kuat kepada prinsip perjuangan orang Melayu untuk bangsa, negara dan agama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang yang membentuk gabungan parti politik baharu dikenali Gerakan Tanah Air (GTA) bersama beberapa parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa pengundi bijak membuat keputusan dengan menolak UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Saya, bekas Presiden UMNO dan ahli UMNO di waktu ia ditubuh pada 1946, menyeru supaya parti yang bernama UMNO sekarang ini ditolak sepenuhnya.
“Saya sedih. Tetapi yang benar saya perlu terima. Parti saya dahulu sudah hancur kerana kepercayaan bahawa ‘cash is king’,” katanya lagi.
Bukan itu sahaja Ahli Parlimen Langkawi itu juga mendakwa, UMNO kini sudah berubah kepada parti perasuah secara total.
“Saya terpaksa keluar dari UMNO kerana UMNO bukan lagi UMNO yang ditubuh pada 11 Mei 1946, bukan yang menyelamat Tanah Melayu dari diambil alih oleh British, bukan yang berjaya merebut kemerdekaan negara dan kemudian telah bangun negara sehingga terkenal sebagai Harimau Asia.
“Rasuah, sogokan duit dibuat sehingga ahli Majlis Tertinggi, ketua bahagian, ketua cawangan, ahli biasa semua terlibat dengan rasuah tanpa malu.
“Walaupun ahli boleh singkir pemimpin yang menyeleweng, tetapi mereka tidak guna Perlembagaan UMNO untuk bersihkan parti. Sebaliknya mereka teruskan sokongan kuat kepada Presiden yang akhirnya didapati bersalah dan dipenjara,” katanya.