KUALA LUMPUR: Kempen agresif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dilihat berjaya menyuntik momentum positif menjelang hari pengundian esok, namun sentimen anti-DAP serta persepsi terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, dijangka turut menjadi faktor yang mempengaruhi keputusan di beberapa kerusi penting.
Institut Darul Ehsan (IDE) dalam analisisnya berpandangan, pendekatan kempen Anwar meningkatkan minat rakyat terhadap isu semasa sekali gus mendorong lebih ramai pengundi, terutama golongan atas pagar, mendapatkan maklumat sebelum menentukan pilihan.
Pada masa sama, IDE menyifatkan sentimen anti-DAP, isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji serta persepsi positif terhadap prestasi Aminuddin sebagai antara elemen yang berpotensi mempengaruhi kelompok pengundi yang masih belum membuat keputusan.
Menurut IDE, ketiga-tiga faktor itu dijangka memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan di beberapa kerusi marginal yang boleh menjadi penentu pembentukan kerajaan negeri.
Secara keseluruhannya, IDE meramalkan PRN Negeri Sembilan bakal menyaksikan persaingan sengit apabila tiada mana-mana gabungan politik mempunyai laluan mudah untuk menguasai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Berdasarkan kajian persepsi pengundi yang dijalankan antara 16 hingga 19 Julai lalu melibatkan 1,225 responden, sebanyak 62.3 peratus pengundi menyatakan mereka pasti akan keluar mengundi, manakala 24 peratus lagi berkemungkinan besar berbuat demikian.
Bagaimanapun, kadar keluar mengundi sebenar dijangka bergantung kepada faktor seperti keberkesanan mobilisasi jentera parti, keadaan cuaca, kemudahan pengangkutan dan perkembangan pada saat akhir kempen, dengan peratusan keseluruhan dianggarkan sekitar 68 hingga 70 peratus.
Kajian itu turut menunjukkan komitmen paling tinggi untuk mengundi datang daripada pengundi Melayu iaitu 66.7 peratus, berbanding pengundi Cina sebanyak 56.1 peratus dan India 56.6 peratus, keadaan yang dijangka memberi kesan kepada keputusan di kerusi campuran.
Sementara itu, pengundi muda berusia antara 18 hingga 30 tahun dikenal pasti sebagai cabaran utama semua parti apabila hanya 51.8 peratus daripada mereka menyatakan pasti akan keluar mengundi, jauh lebih rendah berbanding kumpulan umur 31 hingga 60 tahun (67.4 peratus) dan 61 tahun ke atas (63.4 peratus).
IDE turut menganggarkan antara 12 hingga 18 peratus pengundi masih belum membuat keputusan, dengan 33.8 peratus responden memaklumkan mereka hanya memuktamadkan pilihan selepas hari penamaan calon atau lebih lewat, termasuk 14.8 peratus yang hanya membuat keputusan pada hari pengundian.
Golongan ini dijangka menjadi penentu di kerusi-kerusi marginal kerana lazimnya lebih sensitif terhadap faktor seperti kredibiliti calon, kempen dari rumah ke rumah, isu kos sara hidup, prestasi kerajaan negeri serta persepsi terhadap kepimpinan parti.
Menurut IDE, sebarang kesilapan komunikasi, kontroversi calon atau kegagalan menjawab isu rakyat pada penghujung kempen berpotensi mengubah keputusan di kerusi yang menyaksikan persaingan sengit.
Sehubungan itu, lapan kerusi marginal dijangka menjadi medan penentu pembentukan kerajaan negeri apabila perubahan beberapa ratus undi atau sedikit peningkatan kadar keluar mengundi mampu mengubah keseimbangan kuasa.
IDE turut mengingatkan bahawa tiada mana-mana gabungan politik boleh dianggap memiliki kelebihan mutlak kerana sokongan semasa masih boleh berubah apabila diterjemahkan kepada pertandingan di peringkat DUN.
Jelasnya, keputusan akhir PRN Negeri Sembilan dijangka ditentukan oleh tiga kelompok utama iaitu pengundi atas pagar, pengundi yang membuat keputusan pada minggu terakhir serta penyokong yang masih belum pasti akan keluar mengundi, selain keupayaan parti meningkatkan penyertaan pengundi muda, Cina dan India pada hari pengundian.










