Ibu, Anak Maut Digilis Lori

Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dan ibunya maut digilis lori dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan 4/3a – 6/3a Pusat Bandar Utara berdekatan Pasar Borong Selayang, semalam.

Mangsa Harisa Kassim, 4, membonceng motosikal Honda NF100 ditunggang ibunya Shahidah Tuaher, 34 dalam kejadian jam 6.20 petang itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dua beranak itu maut serta-merta di tempat kejadian selepas digilis di bahagian perut.

“Kemalangan berlaku ketika sebuah lori bergerak dari lorong paling kanan di persimpangan lampu isyarat semasa lampu isyarat warna hijau dan menghala ke Jalan 6/3a iaitu simpang di sebelah kanan jalan.

“Tiba-tiba motosikal yang dinaiki mangsa datang dari belakang dan cuba memotong lori berkenaan dari arah kiri jalan.

“Namun motosikal itu bergesel pada bahagian kiri hadapan lori. Akibat kemalangan itu kedua-dua mangsa terjatuh ke bawah tayar kiri lori dan mereka tergilis di bahagian perut,” katanya.

Mangsa merupakan adalah suri rumah warga Myanmar beragama Islam dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Jenazah kedua-duanya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasi mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987. Pemandu lori berusia 72 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ujian alkohol dan dadah terhadap pemandu lori didapati negatif,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles