Husam Jaja ‘Amanat’ Nik Aziz Untuk Jadikan Anwar Sebagai PM

KUALA LUMPUR: Misi untuk mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri perlu direalisasikan kerana Presiden PKR itu memiliki ciri kepimpinan mantap dan kuat.

Datuk Husam Musa juga nekad meneruskan amanat Allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kerap kali disampaikan kepadanya ketika bersama PAS sebelum ini dan mahu hasrat itu ditunaikan kerana beberapa sebab.

“Malam ini saya datang untuk melengkapkan harapan dan misi Tok Guru Nik Aziz. Ustaz Nik Omar lebih tahu, Malaysia memerlukan Anwar menjadi Perdana Menteri kerana beberapa sebab.

“Pertama kepimpinan yang mantap, negara hanya boleh jadi kuat kalau pemimpinnya kuat.

“Siapakah calon Perdana Menteri yang kita ada pada hari ini? Antara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Datuk Seri Anwar.

“Siapa calon Perdana Menteri yang boleh menguatkan Malaysia,” katanya berucap pada Majlis Pengumuman Calon Parlimen PKR di Taman Kosas, di sini, malam tadi.

Husam juga memberitahu, Allahyarham Nik Abdul Aziz merasakan Anwar paling layak menggalas tugas itu kerana rekod prestasinya sebagai Timbalan Perdana Menteri yang berjaya sebelum ini.

“Anwar membawa agenda perumahan mampu milik untuk rakyat di bandar dan di desa.

“Semasa saya menjadi sebahagian daripada jentera untuk menentang Barisan Nasional (BN) dalam PAS, yang paling kami gerun adalah Anwar Ibrahim.

“Kerana apa? Bukan kerana pidato yang kosong, kerana agenda perumahannya, ikhtiar untuk masyarakat miskin di luar bandar, universiti Islam, bank Islam, agenda Islamisasi yang direalisasikan.

“Tok Guru Nik Aziz kata Anwar telah berjaya menterjemahkan Islam yang syumul,” katanya.

Sementara itu, Husam juga berpesan kepada Anwar jika mahu menjadi Perdana Menteri, beliau perlu memastikan dua negeri yang ditadbir PAS menyumbang sekurang-kurangnya satu kerusi setiap satu.

“Kalau Anwar nak jadi Perdana Menteri, Kelantan dan Terenagganu mesti ada kerusi yang menang bagi Pakatan Harapan (PH).

“Kalau Kelantan boleh menyumbang satu (kerusi), Terengganu boleh menyumbang satu, mengukuhkan langkah kita ke Putrajaya.

“Kalau PH boleh menyumbang lebih (kerusi) daripada Kelantan dan Terengganu, harapan kita lebih menjadi cerah

“Saya berharap anak-anak Kelantan di perantauan berkorban diri untuk balik mengundi menjadikan perubahan Malaysia dengan mengundi calon-calon PH,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles