Liew Chin Tong Tolak Dakwaan Presiden MCA, Dakwa Wee Putar Belit Realiti Projek E-Art

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong menolak dakwaan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bahawa Kerajaan Persekutuan meminggirkan Johor dalam pelaksanaan projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART).

Menerusi satu hantaran di media sosial, Liew menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas serta bermotifkan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut beliau, kerajaan terus memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur di Johor, khususnya di kawasan Greater Johor Bahru, termasuk pelaksanaan Projek Landasan Berkembar Elektrik (ETS) Gemas–Johor Bahru, Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru–Singapura serta projek pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Beliau berkata, Projek E-ART juga tidak diketepikan, sebaliknya akan dilaksanakan melalui model kerjasama awam-swasta (PPP) di bawah seliaan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), sebagaimana telah dijelaskan sebelum ini oleh Menteri Pengangkutan.

Mengulas perbandingan yang dibuat antara Projek E-ART Johor dengan projek LRT Mutiara Line di Pulau Pinang, Liew berkata kedua-dua projek berada pada tahap pembangunan yang berbeza dan tidak wajar dibandingkan secara langsung.

Menurut beliau, perancangan sistem rel bandar di Pulau Pinang bermula sejak pertengahan 1990-an sebelum melalui pelbagai fasa perancangan, kelulusan dan pembiayaan selama hampir tiga dekad sehingga pembinaan fizikal dimulakan pada tahun ini.

art

Sebaliknya, katanya, pembangunan sistem pengangkutan awam berasaskan rel di Johor bermula dengan konsep Bas Rapid Transit (BRT) pada 2017 sebelum Projek RTS dilaksanakan, manakala cadangan sistem rel bandar termasuk E-ART hanya berkembang dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Liew berkata perbezaan sejarah, garis masa dan tahap kematangan projek menyebabkan perbandingan antara kedua-dua projek tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10 bilion bagi projek E-ART dan proses pelaksanaannya memerlukan penelitian dari segi perancangan, perolehan serta pelaksanaan bagi memastikan projek berjalan dengan lancar.

Pada masa sama, beliau berkata Johor terus menerima perhatian Kerajaan Persekutuan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik termasuk Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), yang disifatkan bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri itu.

Sehubungan itu, Liew menggesa semua pihak supaya menilai isu pembangunan berdasarkan fakta dan perkembangan sebenar projek, bukannya membuat perbandingan yang menurutnya boleh mengelirukan orang ramai.

BBerkaitan

Latest articles