KUALA LUMPUR: Blok pembangkang secara rasmi mengemukakan nama Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang baharu selepas mendapat sokongan majoriti 61 Ahli Parlimen pembangkang.
Perkara itu dimaklumkan menerusi surat yang dihantar Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, susulan peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar daripada jawatan berkenaan.
Dalam surat tersebut, Takiyuddin memaklumkan kesemua 61 Ahli Parlimen pembangkang bersetuju agar Hamzah dilantik semula sebagai Ketua Pembangkang berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Ahli Parlimen Kota Bharu itu, Johari telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut sejak 10 Jun lalu, selain senarai penuh Ahli Parlimen yang menyokong pelantikan Hamzah turut dilampirkan bersama surat berkenaan.
Perkembangan itu dilihat menamatkan teka-teki berhubung kepimpinan blok pembangkang selepas Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi PN mengambil alih jawatan tersebut daripada Hamzah bulan lalu.
Sebelum ini, Hamzah kehilangan kedudukan sebagai Ketua Pembangkang susulan krisis kepimpinan dalam Bersatu yang menyaksikan beliau dipecat daripada parti berkenaan.
Bagaimanapun, minggu lalu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan Hamzah akan kembali menerajui blok pembangkang selepas mendapat sokongan Ahli Parlimen PAS dan wakil rakyat yang berpihak kepadanya, termasuk beberapa Ahli Parlimen yang masih bersama Bersatu.
Pengumuman itu dibuat hanya beberapa hari selepas PAS menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu, sekali gus mencetuskan ketegangan baharu antara kedua-dua parti yang masih berada di bawah payung PN.
Malah, kemelut itu terus memuncak apabila PN bertindak menyingkirkan dua pemimpin kanan Bersatu daripada jawatan penting dalam gabungan berkenaan pada malam Khamis.
Sementara itu, Johari sebelum ini dilaporkan berkata beliau belum menerima sebarang surat rasmi daripada blok pembangkang berhubung pelantikan semula Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.










