KOTA KINABALU: Hukuman penjara lima minggu yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen terhadap bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, tidak menjejaskan kedudukannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang buat masa ini.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya, berkata hukuman tersebut tidak memberi sebarang implikasi terhadap status Presiden Parti Warisan (WARISAN) itu, lebih-lebih lagi apabila pelaksanaan hukuman telah ditangguhkan sementara proses rayuan berlangsung.
Menurut beliau, kedudukan Mohd Shafie kekal seperti sedia ada selagi proses perundangan belum dimuktamadkan.
“Kalau hukuman penjara, tiada kesan. Saya tidak tahulah kalau ada denda yang dikenakan oleh mahkamah. Kalau ada denda tetapi di bawah RM2,000, tidak juga terjejas.
“Apa pun, kalau hukuman masih dirayu, kedudukannya kekal status quo, belum ada sebarang kesan,” katanya.
Beliau turut merujuk kepada Perkara 17(1)(e) Perlembagaan Negeri Sabah yang memperuntukkan seseorang ADUN hanya hilang kelayakan sekiranya disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara tidak kurang setahun atau denda sekurang-kurangnya RM2,000.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lima minggu terhadap Mohd Shafie selepas beliau didapati bersalah menghina mahkamah susulan kenyataannya berkaitan inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi memberi ruang kepada Mohd Shafie mengemukakan rayuan terhadap sabitan tersebut.
Dalam penghakimannya, hakim memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, sekali gus mensabitkan Mohd Shafie di bawah Seksyen 99A Akta Mahkamah Rendah 1948.










