SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menuntut tindakan segera dan tegas diambil terhadap pihak yang didakwa menghina serta memperlekeh Institusi Diraja Selangor di bawah naungan Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, menegaskan perbuatan tersebut bukan sahaja melanggar batas kesopanan, malah berpotensi mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri itu.
Menurut beliau, sebarang tindakan yang menyentuh sensitiviti institusi diraja adalah tidak boleh diterima dan perlu ditangani secara serius oleh pihak berkuasa.
Sebagai langkah awal, Setiausaha Politik beliau telah membuat laporan polis bagi memastikan siasatan dapat dijalankan tanpa berlengah.
Dalam masa sama, Amirudin turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, bagi menyuarakan pendirian kerajaan negeri agar tindakan segera diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Beliau memaklumkan akan terus berhubung rapat dengan pihak kementerian dan Polis Diraja Malaysia bagi mengikuti perkembangan siasatan, selain memastikan sebarang maklumat terkini disalurkan kepada Sultan Selangor.
Terdahulu, MCMC mengesahkan bahawa pentadbir akaun Facebook HuaYan The Pureland Learning Centre telah dipanggil untuk membantu siasatan berhubung penyebaran kandungan berunsur 3R yang disifatkan melampau dan menyentuh institusi diraja.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Amirudin menekankan bahawa Institusi Raja-Raja Melayu memainkan peranan penting sebagai ketua agama Islam serta simbol perpaduan rakyat di negara ini.
Beliau turut menghargai reaksi pantas masyarakat yang secara terbuka mengecam tindakan tersebut, sekali gus mencerminkan sokongan berterusan rakyat terhadap institusi diraja.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menggugat keharmonian masyarakat serta kestabilan negeri, khususnya di Selangor.










