KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Selayang, Dato’ Hasnal Rezua Merican menegur tindakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan yang membangkitkan isu penternakan babi dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan menyifatkan ia tidak sesuai dari segi masa serta berpotensi mencetuskan sensitiviti.
Beliau berkata, isu tersebut dibangkitkan sejurus selepas titah perasmian oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah yang antara lain menyentuh mengenai sikap pihak tertentu yang masih merungut dan tidak berpuas hati.
“Apabila ADUN berkenaan bangun dan mengutarakan isu yang mirip kepada keluhan sejurus selepas titah Tuanku, ia secara tidak langsung meletakkan beliau dalam kategori yang disentuh oleh Tuanku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri satu program di World Trade Centre Kuala Lumpur, di sini.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa walaupun wakil rakyat berhak menyuarakan pandangan, pemilihan masa untuk berbuat demikian perlu mengambil kira konteks serta kepekaan semasa, khususnya selepas titah diraja.
Menurutnya, tiada keperluan mendesak untuk isu tersebut dibangkitkan secara serta-merta memandangkan kerajaan negeri belum membuat sebarang pengumuman rasmi berkaitan dasar berkenaan.
“Menteri Besar tidak menyentuh perkara ini, begitu juga Exco Kewangan. Jadi, tidak timbul keperluan untuk membangkitkannya secara tergesa-gesa,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata isu penternakan babi berkenaan telah pun mendapat perhatian umum termasuk daripada pihak istana, justeru pendekatan lebih berhati-hati dan berhemah wajar diambil bagi meredakan keadaan.
Beliau turut memuji sikap kebanyakan ADUN lain yang tidak menyambut perbahasan tersebut, sekali gus menunjukkan kesedaran terhadap sensitiviti isu berkenaan.
Tambahnya, polemik berterusan berpotensi memberi tekanan kepada pentadbiran negeri serta meletakkan penjawat awam dalam situasi sukar, khususnya dalam aspek kelulusan tanah dan pelaksanaan projek.
“Pegawai daerah, pejabat tanah dan pihak berkuasa tempatan akan berdepan dilema sekiranya permohonan dikemukakan, sedangkan terdapat pandangan berbeza daripada pihak istana,” katanya.
Sebagai cadangan, beliau menyarankan agar pemain industri mempertimbangkan lokasi alternatif di luar Selangor, termasuk di Sarawak, bagi mengelakkan kontroversi berpanjangan.
Menurutnya, pendekatan tersebut boleh dilaksanakan secara inisiatif swasta tanpa melibatkan dana kerajaan negeri, di samping memanfaatkan kos tanah yang lebih rendah di kawasan berkenaan.
“Jika benar mahu diteruskan, cari lokasi yang tidak menimbulkan sensitiviti. Ini penting bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara,” katanya lagi.










